BERSYUKURLAH NAMUN JANGAN BERHENTI BERDOA...
Ingatlah. Sesungguhnya rezeki itu milik Allah, Dia memberi kepada sesiapa yang Dia mahu dan Dia juga berhak mengambilnya semula bila-bila masa yang Dia kehendaki. Oleh itu, bersabar dan bersyukurlah dengan apa yang kita miliki pada hari ini. Biarpun sedikit. Dan. Moga di dalam yang sedikit itu, ada keberkatan. Apatah lagi dalam yang banyak.
Bersyukur bukan bermakna kita harus mudah berasa puas hati dengan apa yang kita ada sehingga membuatkan kita malas untuk berusaha lebih gigih. Dan kita juga tidak seharusnya tiada lagi keinginan untuk mencapai kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang. Bersyukur biarlah kena pada konteks dan tuntutan syariat Islam. Jangan berhenti berusaha dan berdoa. Jangan pula sesekali menyesali nasib diri dan menyalahkan takdir Ilahi.
Allah telah berfirman..:
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. [Al-Baqarah : 245]
Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi siapa yang Ia kehendaki, dan menyempitkannya. Sesungguhnya Ia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. [Isra : 30]
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tetap tiap-tiap sesuatu. [Al-Ankabut :62]
Dan mengapa mereka tidak melihat bahawa Allah meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Ia juga yang menyempitkannya Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang yang beriman. [Rum : 37]
Saba’ [36] Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
Az-Zumar [52] (Mengapa mereka mendakwa demikian), tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).
As-Syura (As-Shura) [12] Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Maka, saya menyeru sahabat sekalian dan diri sendiri jua adanya agar sentiasa bersyukur dengan anugerah dan kurniaan dari-Nya.
Jika kita merasa susah, ingatlah bahawasanya lebih ramai manusia yang jauh lebih susah daripada kita. Jika kita keliru dan ternanti-nanti peluang kerja yang lebih baik, ingatlah bahawasanya berapa ramai diluar sana yang menganggur, malahan terpaksa mengemis dan membuat kemungkaran seperti merompak dan mencuri demi mendapatkan sesuap nasi. Syukurlah.. Setidaknya tulang empat kerat kita masih dapat berfungsi dan masih lagi mampu berbakti kepada kita. Alhamdulillah. Kita masih mampu mencari rezeki yang halal.
Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu : “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amat pedih. [Ibrahim : 7]
Semoga kita menjadi insan yang sentiasa hidup dalam sederhana dan sentiasa mensyukuri segala nikmat daripada Allah SWT. Semoga Allah menjadikan kita hambaNya yang sentiasa bersyukur dan sentiasa mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala larangan dariNya. Jangan dikesali kenapa gaji kita tidak setinggi orang lain.. Seeloknya bermuhasabahlah. Ketahuilah, setiap apa yang Allah tentukan, pasti ada hikmahnya yang tersembunyi. Positif dan optimis sentiasa, moga kita dirahmati Allah. InsyaAllah.
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://jasminshahab205.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment