share dari link blog ~ http://www.mmgazette.com/pembedahan-tonsil-bagaimanakah-caranya-dr-ahmad-nordin/
Pembedahan Tonsil: Bagaimanakah Caranya? – Dr. Ahmad Nordin
Kesemua kita pernah mendengar akan pembedahan tonsil sekali seumur hidup kita. Tetapi tahukah anda bagaimana ia dilakukan? Saya sendiri tidak mengetahui prosedur tonsilektomi sehingga melalui tahun keempat kursus perubatan.
Pembedahan ini dijalankan untuk mereka yang kerap menhidapi jangkitan tonsil, bengkak tonsil yang menyebabkan berdengkur & sempit saluran pernafasan, disyaki menghidapi penyakit kanser tonsil dan beberapa penyakit lain yang agak jarang berlaku.
Pembedahan dijalankan melalui bius am, di mana mereka akan tidur sepenuhnya & tidak merasa sebarang kesakitan semasa prosedur. Pesakit ini, seorang kanak lelaki dalam ilustrasi ini, diberi corong pernafasan untuk bernafas sehingga dia tidur sepenuhnya (imej 1).
Sejenis tiub diselitkan ke dalam mulut (imej 2) ke salur pernafasan untuk menyalurkan oksigen (tiub endotrakeal) dan disambung ke mesin untuk bantuan pernafasan (‘ventilator’). Pembedahan akan dijalankan dengan rongga mulut terbuka dan doktor bedah duduk menghadapi bahagian atas kepala.
Ada banyak jenis kaedah pembedahan tonsil. Di hospital saya bertugas, kami menggunakan alatan tajam (imej 3) dan gabungan kaedah ‘diathermy’ (pembedahan menggunakan haba). Hospital lain ada menggunakan alatan & kaedah lain.
Tonsil akan dibedah dengan mulut pesakit yang terbuka. Dengan ini, tiada belahan di kulit dan tiada parut akan kelihatan di bahagian luar pesakit (imej 4)
Memandangkan ia dilihat dari atas, tonsil akan kelihatan terbalik, seperti ditunjukkan dalam imej 5. Sebahagian kecil tisu adenoid akan dibedah dalam kanak-kanak, ia diperolehi melalui rongga di bawah lelangit lembut. Adenoid agak sama dengan tonsil, Cuma ia terdapat di bahagian dalam & hujung hidung (nasofarinks)
Selepas tonsil dibedah, perdarahan dihentikan dengan ‘diathermy’ (imej 6 & 7). Ini adalah penting, kerana ia mungkin berdarah kembali sekiranya pesakit batuk atau menangis dengan kuat di wad kelak. Prosedur tonsilektomi mengambil masa lebih kurang 30 minit, bergantung kepada kesukaran kes dan kepakaran & pengalaman doktor bedah ENT.
Tisu yang dikeluarkan akan dihantar ke makmal untuk pengesahan diagnosis (imej 8). Pesakit biasanya tinggal di wad sehari selepas pembedahan. Dia akan dibenarkan pulang sekiranya tiada perdarahan, tiada demam dan boleh mengambil makanan lembut yang cukup.
Pesakit akan diberi antibiotik, ubat penahan sakit & cecair untuk dikumur. Kami biasanya berjumpa pesakit semula beberapa minggu selepas itu untuk memastikan tiada komplikasi pembedahan seperti masih wujud gejala sebelum pembedahan, perubahan suara, kesukaran untuk menelan dan perubahan deria rasa.
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
- Synopsis of operative ENT Surgery, Bingham & Hawthorne
- Diseases of the Ear, Nose and Throat 4th Edition PL Dhingra
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://jasminshahab205.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment