Kehidupan fana di dunia ini seumpama meniti sebuah jambatan. Ia adalah jambatan yang hadir di sebahagian perjalanan seseorang manusia menuju destinasi abadi, iaitu Akhirat.
Ini bermakna hidup di dunia bukan sekadar suatu kembara yang berakhir tatkala nafas terakhir terhela. Jua bukan bermakna kehidupan seseorang manusia itu akan ternokhtah tatkala nyawa terpisah dari jasad. Sebaliknya, tatkala jasad ditinggalkan roh, hidup baru bagi seseorang manusia itu bermula.
Alam barzakh menjadi ganti kepada alam dunia dan seterusnya akhirat menjadi destinasi terakhir bagi seseorang manusia. Di situlah noktah sebenar kembara seorang manusia. Oleh yang demikian, setiap apa yang dilalui dan dilakukan oleh seseorang manusia semasa hayatnya di dunia yang fana ini, akan tetap memberi kesan kepada kehidupannya di akhirat nanti.
Justeru nikmatilah dunia untuk kejayaan akhirat. Itulah sebenarnya hakikat kehadiran setiap manusia di dunia ini. Dan jangan sesekali akhirat dilupakan.
Ambilah dunia, nikmatilah dunia sehendaknya tetapi jangan sesekali melupakan akhirat. Seiringkan kedua-duanya dalam roh dan jasad kerana itulah yang sebaik-baiknya bagi mereka yang inginkan kejayaan di dunia dan akhirat sebagaimana yang sering dimunajatkan dalam doa yang berbunyi :
“Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat dan jauhilah kami daripada azab api neraka. Amin Allahumma amin."
No comments:
Post a Comment