02 August 2015

BERJALAN MENUJU ALLAH SECARA BERPERINGKAT, SELANGKAH DEMI SELANGKAH


Gambar: Habib Ali Al-Jufri & Shaykh Shukri Al-Luhafi As-Syadzili

share dari link fb ~ Jom Dakwah Bersama Ulama

BERJALAN MENUJU ALLAH SECARA BERPERINGKAT, SELANGKAH DEMI SELANGKAH

Dalam perjalanan menuju kepada Allah s.w.t ada sebahagian orang yang tertinggal di belakang walaupun mereka sudah melakukan amal yang sama seperti yang dilakukan oleh orang lain yang lebih maju rohaninya. Satu halangan yang menyekat golongan yang tertinggal itu adalah kebodohannya yang tidak mahu tunduk kepada ketentuan dan kehendak Allah s.w.t. 

Dia masih dipermainkan oleh hawa nafsunya dan akalnya yang menghijab hatinya daripada melihat hak2 Allah s.w.t pada apa yang dilihatnya dialam jagat ini dan pada dirinya.
Pandangannya hanya tertuju kepada alam benda dan perkara zahir sahaja. 

Dia tidak dapat melihat disebalik sesuatu apabila melihat sesuatu. Dia melihat kepada keberkesanan hukum sebab-musabab sahaja dan meletakkan pergantungan kepada amalnya tetapi tidak kepada Allah swt. Dia yakin yang dia boleh mendapatkan apa yang dia ingini melalui usaha dan ikhtiarnya semata tanpa makrifat hak2 Ketuhanan.
Ketika rohani orang lain telah maju di dalam menuju kepada Allah s.w.t dia masih juga berpusing-pusing di dalam kesamaran dan keraguan. Nafsunya tetap melahirkan keinginan-keinginan. Keinginan diri sendiri menjadi rantai yang mengikat kaki daripada berjalan menuju kepada Allah s.w.t. 

Bagaimana boleh seseorang mendekati Allah s.w.t jika dia enggan menjadikan Allah s.w.t sebagai Pengurus semua aspek kehidupannya. Walaupun para hamba rela atau membantah, Allah s.w.t tetap akan melaksanakan kehendak dan ketentuan-Nya. Allah s.w.t melaksanakan kehendak-Nya pada setiap masa dan tidak ada sesiapa yang dapat menghalang-Nya. Allah berdiri sendiri.. Allah qiamuhu binafsih sifat-Nya.

"TIDAK MENINGGALKAN SEDIKIT PUN DARI KEBODOHAN BAGI SESIAPA YANG BERKEHENDAK MENGADAKAN PADA SESUATU MASA SESUATU YANG LAIN DARIPADA APA YANG DIJADIKAN OLEH ALLAH S.W.T PADA MASA ITU."

- Ibnu Atha'illah As Sakandari.

Tiap-tiap masa Dia (Allah) di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya). 
Ayat 29 : Surah ar-Rahman

Allah s.w.t sahaja yang mencipta, meletakkan hukum dan peraturan, membahagikan rezeki dan lain-lain. Dia menentukan urusan dengan bijaksana dan adil, termasuklah urusan mengenai diri kita dan apa yang terjadi pada kita. Kita memandang diri kita dan kejadian yang menimpa kita dalam skop yang kecil. Sedangkan Allah s.w.t melihat kepada seluruh alam dan semua kejadian, tanpa keliru pandangan-Nya kepada diri kita dan kejadian yang menimpa kita, juga diketika dan masa yg sama tidak beralih pandangan-Nya dari makhluk-Nya yang lain dan semua maujudat dialam jagat raya ini.

Urusan pentadbiran-Nya adalah menyeluruh dan sempurna. Orang yang tidak berbekas pada hatinya akan kesempurnaan Allah s.w.t itu adalah orang dungu lagi bodoh. Dia masih juga merungut tentang perjalanan hukum takdir Ilahi, seolah-olah Tuhan harus tunduk kepada hukum makhluk-Nya. 

Bagi sisalik ie murid yang cenderung mengikuti latihan kerohanian perlulah berusaha untuk melenyapkan kehendak diri sendiri dan hidup dalam kehendak Allah s.w.t secara total. Jangan sekali-kali bertelagah dengan takdir kerana Penentu Takdir tidak pernah berbincang dengan sesiapa pun dalam menentukan arus ketentuan-Nya.
Jika kita mahu mengenali Allah s.w.t kita tidak boleh melihat-Nya pada satu aspek sahaja. Jika kita melihat Allah al-Ghafur (Maha Pengampun), kita juga harus melihat Allah al-‘Aziz (Maha Keras). Jika kita melihat Allah al-Hayyu (Yang Menghidupkan) kita juga harus melihat Allah al-Mumit (Yang mematikan). Lihatlah dari sisi sifat2 Jamal dan Jalal-Nya. Jika kita dapat melihat semua Sifat-sifat Allah s.w.t dalam satu kesatuan baharulah kita dapat mengenali-Nya dengan sebenar-benar kenal. Bila Allah s.w.t dikenali dalam semua aspek, hikmat kebijaksanaan-Nya dalam menentukan sesuatu perkara pada sesuatu masa tidak terlindung lagi dari pandangan mata hati.

Hati yang tidak mahu tunduk kepada Maha Pengatur tidak akan menemui kedamaian. Waktu, ruang dan kejadian akan membuatnya gelisah kerana nafsunya tidak dapat menguasai semua itu. Dia inginkan sesuatu perkara pada satu masa sedangkan Maha Pengatur inginkan perkara lain. Kehendak makhluk tidak dapat mengatasi kehendak Tuhan. Jika mahu hati menjadi tenteram usahakan agar hati sentiasa ingat kepada Allah s.w.t. dan berserah diri dengan tunduk dan tawaduk serta pasrah dalam iradah Allah.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah! Dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Ayat 28 : Surah ar-Ra’d)
Berimanlah kepada Allah s.w.t dan beriman jugalah kepada takdir. Lepaskan waham sebab musabab yang menjadi pagar nafsu menutup hati.

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
( Ayat 11 : Surah at-Taghaabun )
-Syarah Al-Hikam-Ibnu Atha'illah As Sakandari.

SILA SHARE DAN SEBARKAN

Wallahualam 

via: Ustaz Iqbal Zain 

blog saya satu lagi boleh dilawati :  http://jasminshahab205.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment