28 November 2013

~~SUSAHKAN PERKAHWINAN & MEMUDAHKAN KEMAKSIATAN~~


share dari link fb ~Islamic Articles

~~SUSAHKAN PERKAHWINAN & MEMUDAHKAN KEMAKSIATAN~~

Assalammu'alaikum kepada pembaca yang dirahmati Allah,

Muqaddimah

Artikel kali ini, akan mengulas tentang beberapa bentuk kejahatan yang berlaku pada akhir zaman. Iaitu, menyusahkan perkahwinan dan memudahkan maksiat.

Realiti Yang Terjadi Tentang Perkahwinan

1. Hantaran untuk perkahwinan, hendaklah beribu-ribu ringgit, sehinggakan si lelaki kering kontang apabila membincangkan tentang perkahwinan, sedangkan ia bukanlah satu kewajipan. Kewajipan seorang suami ialah memberi nafkah kepada isterinya, bukanlah terlalu melampau di dalam meletakkan harga perkahwinan. ( Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, ‘Aqabat Az Zawaj, cet. Maktabah Darul Salam, bah. ke 2 )

2. Masyarakat “mengharamkan” perkahwinan ketika belajar sedangkan Allah sahaja yang berhak mengharamkan sesuatu perkara. Seolah-olah manusia telah meletakkan “pembelajaran” itu adalah perkara yang diharamkan bagi sesiapa yang ingin berkahwin. ( Prof Dr Yusof al Qardhawi, al Halal Wal Haram Fil Islam, cet. Maktabah Wahbah, bab. 1 )

3. Masyarakat meletakkan tanggungjawab yang tinggi bagi suami isteri. Contohnya bagi seorang suami itu diwajibkan untuk menyediakan “sesuatu” yang bukan menjadi tanggungjawabnya. Begitu juga si isteri, yang diwajibkan itu dan ini, sedangkan ia bukanlah satu kewajipan. ( Opcit, Ustaz Abdullah Nasih Ulwan )

4. Konon meraikan adat, tetapi tidak melihat percanggahannya dengan Islam. Contohnya persandingan, yang seolah-olah diwajibkan kepada pengantin, sedangkan hukumnya haram. ( Syeikh Muhammad al Ghazali, Laisa Minal Islam, terjemahan oleh H. Mu’ammal Hamidy, cet. kedua 1978, PT Bina Ilmu, bah. 7, ms 209 )

5. Apabila memilih menantu, biasanya akan diukur dari sudut “kewangan” semata-mata. Walhal Islam lebih menekankan aspek kefahaman dalam beragama. Apa gunanya si kaya yang miskin agama. Perkara ini telah dijelaskan oleh Baginda SAW. ( Imam Ahmad bin Hanbal, Musnad, cetakan Mu’assasah al Qurtubah, bah. 2, ms 428, no. 9517 )

6. Perkahwinan tidak lagi digalakkan. Bahkan, sesiapa yang ingin melaksanakan ibadah ini, akan diceritakan tentang kesusahan hidup berumah tangga, sehingga menyebabkan remaja lebih suka berzina berbanding berkahwin. Sedangkan penzinaan itu telah jelas haram berdasarkan Surah al Isra : ayat 32, dan perkahwinan itu digalakkan ( Dr Wahbah Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. Darul Fikr, bah. 9, ms 88 )

Realiti Tentang Maksiat Pada Hari Ini

1. Melakukan maksiat lebih mudah. Berdua-duaan itu lebih mudah daripada perkahwinan, dan masyarakat jarang mengambil peduli tentang kebobrokan maksiat ini. Berbeza dengan perkahwinan, yang dianggap sebagai “penghabis duit”. Lihatlah, berdua-duaan itu tidak perlukan duit. Inilah kejahatan akhir zaman. Nabi SAW bersabda maksudnya :
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda : “Demi jiwaku berada di kuasaNya, tidak akan lenyap umat ini sehinggalah berlakunya kejadian di mana seorang pemuda datang kepada seorang perempuan lalu menidurinya di jalanan, maka orang yang terbaik akhlaknya ketika itu dari kalangan mereka ialah mereka yang berkata : Alangkah lebih baiknya sekiranya aku melihat mereka di belakang tabir ini, (berbanding aku melihat di hadapan mata. (Ahmad bin Ali at Tamimi, Musnad Abi Ya’la, cet. pertama 1404 H, Darul Makmun Lit Turath, tahqiq Husain Salim Asad, bah. 11, ms 43, no. 6183)
2. Anak luar nikah hasil penzinaan tidak dipelihara oleh ibu bapa mereka yang telah melakukan dosa ini. Bayi-bayi boleh dibuang merata tempat. Apabila berkahwin, masyarakat akan berkata “Kalau kamu kahwin, susah nak jaga anak...”, dan sebagainya.

Statistik anak luar nikah :

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Neg. Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
========================
JUMLAH = 70,430 orang


Kesimpulan

Semoga kita dapat menghindari amalan ini. Ingat, maksiat semakin dipermudahkan, dan perkahwinan semakin dipayahkan. Inilah tanda akhir zaman, yang jelas berlaku di hadapan mata kita pada hari ini. Islam itu memudahkan sesuatu amalan yang baik, dan menegah amalan buruk dan maksiat. Islam bukanlah memudahkan maksiat, dan menyukarkan perkahwinan.

Maka, mereka yang memudahkan maksiat dan menyukarkan perkahwinan termasuk dalam golongan yang telah bercanggah dengan Islam. Percanggahan ini disebabkan kejahilan mereka tentang Islam. Maka, mereka akan melahirkan generasi yang bertaklid buta, dan menghasilkan masyarakat yang jauh dari sistem Islam.

Allah SWT berfirman;
Sesudah itu, patutkah mereka berpandukan lagi kepada undang-undang Jahiliyah? Siapakah yang lebih baik undang-undangnya berbanding undang-undang Allah, bagi mereka yang yakin? (Surah al Ma’idah : 50)
Tulisan: Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah Universiti al Azhar
Sumber:Blog Ibnu Dr Fadzil
 

No comments:

Post a Comment