30 July 2015

RAYA - IBU BAPA SUDAH MULAI SEDAR DENGAN KEPALSUAN DUNIA

share dari link fb ~ Warga Prihatin

RAYA - IBU BAPA SUDAH MULAI SEDAR DENGAN KEPALSUAN DUNIA


Hari ini jika kita pulang ke kampung, agak tipikal orang bertanyakan “kereta apa pakai sekarang? Beli rumah di mana? Kerja di mana?”. 


Semua itu sudah sekian lama dijadikan kayu ukur kejayaan kita. Padahal ia bukanlah sebenarnya satu ukuran yang tepat. Ramai juga yang kejayaannya tidak diukur pada harta, tetapi dengan akhlak serta keharmonian rumahtangganya. 

Ramai keliru bahawa KEKAYAAN itu membahagiakan. Akibatnya mereka sibuk kejar kekayaan sehingga BAHAGIA yang ada di tangan terpaksa dikorbankan. Setelah kekayaan dapat di tangan, mereka cuba beli semula kebahagiaan yang telah sengaja mereka korbankan sebelumnya.

Tipikal juga hari ini kejayaan seorang anak hanya diukur oleh kebanyakan ibu bapa sendiri berdasarkan pencapaian tertinggi akademik mereka. Yang ada Ph.D akan dibangga dengan status sosialnya. Dicanang kisah anaknya yang menggenggam ijazah doktor falsafah itu. Ukuran itu melebar kepada sekolah dan universiti manakah cucu-cucu mereka belajar. 

Di samping jenis kereta dan kelulusan tertinggi anak cucu, juga agak tipikal bilamana kejayaan diukur dari pangkat dan kerjaya anak itu sendiri. 

Tidak dinafikan bahawa itu semua menjadi salah satu dari laluan kejayaan, tetapi ia bukanlah satu-satunya jalan kejayaan. Beberapa kisah yang dikongsikan hasil pemerhatian alam sepanjang beraya di kampung yang lalu ada pelajarannya.

Banyak sekali dikongsikan kisah anak yang berpendidikan tinggi dan berkereta besar dan selalu dibangga-banggakan keluarga, tetapi tidak pula mengendahkan kebajikan ibubapanya. Kebiadaban anak isteri mereka juga sangat menyakitkan hati. Dari pemilihan bilik, penggunaan bilik air, pengagihan buah tangan, juga makan minum semuanya dilebihkan.

Semua anak-anak mereka leka dengan gajet elektronik. Saudara mara datang dan pergi pun tidak tahu bersalam dan beramah mesra. Lalu lalang berulang alik depan orang tua tanpa budibahasa. 

Sementara itu hidung si isteri juga agak tinggi. Dari mula berlabuh sampai ke saat berangkat semula bicaranya asyik berbangga dengan harta dan status dunia semata-mata. Urusan dapur langsung tidak ambil peduli. Isteri sendiri pun asyik bangun lewat. Bangun hanya setelah sarapan tersaji macam puteri. Pinggan makan anak dan suami sendiri pun tidak dicuci.

Di sebelah pihak pula ada anak yang sering diperlekeh dan dianak-tirikan bertahun-tahun lamanya. Ini kerana mereka tidak berpelajaran tinggi, sekadar belajar di kolej kemahiran dengan kerja-kerja kotor. Balik pun hanya bawa kereta biasa-biasa sahaja. 

Ternyata akhlak anak isteri dari jenis ke dua ini amat baik sekali. Mereka sangat mengambil berat dan menghormati ibubapanya. Segala kekurangan rumah seperti kemasan, makan mentah basah, bahkan lampu-lampu yang tidak menyala sedaya upaya diuruskan. Semua kerja dapur yang sedang dilakukan Ibubapa diambil alih sepanjang berada di desa. 

Ironinya, longgokan pinggan mangkuk yang bertimbun dan tempat tidur bersepah yang ditinggalkan begitu sahaja oleh keluarga yang kaya dan dimuliakan juga diurus tanpa berkira. Yang penting mereka tidak mahu menyusahkan orang tua sebelum meninggalkan mereka sendirian di desa.

UKURAN KEJAYAAN SEBENAR 

Inilah penyakit masyarakat yang sedang berleluasa. Tahun 60-an dahulu ramai ibubapa sanggup berhabis untuk menyekolahkan anak-anak agar berjaya diterima bekerja dalam sektor awam. Pada mereka, itu adalah kejayaan yang sangat besar. 

Itulah sejarah, pola fikir kita sejak zaman purba. Ramai ibubapa dahulu sangat bangga anak-anak mereka jadi pekerja istana, sekalipun sekadar menjadi gundik pemuas nafsu Si Raja. Habis sekampung dicanangnya, “Anak aku kerja dengan Tuanku”. Sekarang ini bunyi canangnya, “Anak aku yang pertama tu JUSA C, anak ke-2 sudah masuk gred 55, sikit lagi JUSA C, anak ke-3 sudah Profesor Madya, Yang ke-4 dah nak balik dari oversea” dan berbagai lagi.

Hentikankanlah pemikiran yang sudah menjadi dogma masyarakat yang ketinggalan itu. Akan sampai ketika di mana kelulusan, pangkat, harta dan rupa tiada nilai kebahagiaannya di hati kita. Yang tinggal ketika itu hanya duka nestapa dan tekanan jiwa yang membakar "ibarat neraka".

Sepandai-pandai pelajar genius yang dibanggakan ibubapa juga tidak ke mana jika akhirnya DIPENJARA kerana menyimpan ribuan bahan lucah kanak-kanak akibat gejala Pedofilia. Di mana bangganya Ibu kepada genius yang ke Oxford semasa kanak-kanak, jika mencecah umur 20-an sudah menjadi ‘escort girl’? (Itu nama yang mulia sikit tetapi maksudnya tetap pelacur).

Hebat manakah anak yang memberi belanja ribuan RM sebulan sekiranya belanja itu diberi dengan sekadar MENCAMPAK tanpa adab? Di mana bangganya jika hujung usia kita ditinggalkan di rumah orang tua? Jika mahu bersembang seminit di telefon pun tiada masa? Apatah lagi untuk selalu balik menjenguk sakit pening kita?

Ya, akhirnya akhlak anak cucu juga yang bakal membuatkan ibubapa merasa bahagia. Itulah anak yang biasanya tidak berpelajaran tinggi dan hanya memandu Proton Saga. Itulah yang kerap menelefon dan menyantuni ibubapa, yang kerap pulang menziarahi kita sambil membawa cucu yang teratur indah akhlaknya. Pantang dengar kita sakit sedikit, dialah yang paling awal sampai dan tekun menjaga kita. Berebut-rebut anak cucu mengurut dan memicit. Tidak langsung jijik mencuci berak dan mengganti lampin kita. Tidak bersungut memapah kita ke kerusi roda.

Matinya kita juga nanti tidak memerlukan orang luar untuk memandi, mengkafan, menyembahyangkan, menggali kubur, mengusung dan mendoakan kita. Merekalah yang akan peruntukan masa membersihkan kubur, mendoa dan menggantikan nisan kita yang reput. Semuanya disempurnakan dengan lancar dan ikhlas oleh anak cucu yang biasa-biasa. 

Waktu itu harta dan pangkat tidak akan ada nilainya bagi kita. Waktu itu kita akan sedar, betapa berharganya akhlak dan takwa. Kesedaran ini jugalah fenomena yang dikongsikan oleh sebahagian ibubapa yang dahulunya juga memuja pangkat dan harta anak-anaknya. 

KESIMPULAN

Mari kita tukar dogma purba yang jumud dalam mengukur erti kejayaan. Sebaliknya mari berlumba-lumba untuk menjadikan anak cucu lebih berakhlak. Apalah gunanya berjuta atau berbillion dari kehebatan kerjaya, jika jalannya songsang dan akhlaknya kontang, sehingga tidak lagi perduli samada ia dituai dari pohon rasuah, penipuan atau penyelewengan. 

Berlapang dadalah agar mampu kita kecapi bahagia hingga ke hujung usia. Jangan sekali-kali anak dibeza-beza. Ini tidak, ada kisah sampaikan dodol dan lemang masakan anakpun tidak mahu dijamah, salam tidak mahu disambut, sapaan tidak berbalas. Bukankah itu semua neraka yang sengaja kita cipta?

Berilah keredhoan kepada anak-anak yang membawa keluarga mereka di atas acuan Islam yang bersederhana. Jangan berburuk sangka dan jangan mereka dibeza-beza. Sentiasa fikir yang positif dan jangan terlampau materialistik. Kaya, pandai, berpangkat itu lebih baik jika akhlaknya sempurna. Tetapi yang sederhana juga jauh lebih mulia jika baik akhlaknya.

Ada ibu bapa yang cuba menipu diri sendiri kononnya masih sayangkan anak sendiri walaupun jahat...

Hari ini, ada kalanya jadi jahat lebih dipandang tinggi dari jadi baik. Jika nak keluar menonton wayang dengan boyfriend emak boleh bergembira lagi kerana anaknya 'laku', tidak seperti anak jiran yang tiada pasangan. 

Di KLIA ada yang mengadu bertembung dengan suasana riuh rendah seperti ada kebakaran. Rupanya suara gadis Melayu berteriakan, terkejar-kejar dan terlompat-lompat keseronokan bertembung dengan penyanyi K-pop. Ibu bapa selamba saja melihat anak-anaknya berkelakuan gedik berpelukan dengan penyanyi yang sukar mahu dipastikan jantinanya itu.

Di kampung, ada anak-anak kami yang mengadu diejek-ejek oleh sepupu sebaya semasa bergaul balik raya, hanya kerana tidak kenal penyanyi K-Pop itu dan ini. Nenek dan ibubapanya pula sepantas kilat menyampuk, "Inilah yang kami tidak suka kamu sekolah di situ, jadi macam katak bawah tempurung tidak kenal dunia". 

Alhamdulillah tidak nampak mereka kecewa sewaktu menceritakan pengalaman 'pelik' ketika digelar seperti itu. Mereka redha dipanggil kolot jika hanya tidak kenal penyanyi K-Pop. Kolot itu lebih baik dari perangai 'macam be*uk' yang terlihat di airport atau jadi gadis Melayu bertudung yang tidak segan silu naik ke pentas untuk dipeluk penyanyi K-Pop. 

Anda bagaimana?

WARGA PRIHATIN 

blog saya satu lagi boleh dilawati :  http://jasminshahab205.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment