21 July 2015

KEMAAFAN RAYA YANG FASIK

share dari link fb ~ Warga Prihatin

KEMAAFAN RAYA YANG FASIK

Dahulu kita sering terima pelbagai rupa Kad Raya apabila menjelang Syawal. Kini amalan itu bertukar bentuk berupa SMS melalui media sosial. Pelbagai bentuk ucapan diterima, dari yang paling ringkas berbunyi “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin” hinggalah pelbagai pantun seloka bagi memohon kemaafan. 

Sepanjang syawal pula kita saling ziarah menziarahi dengan mengucapkan kalimah “Ucapan Selamat dan Permohonan Maaf” yang sama. Ada yang seringkas “Kosong-kosong” dan ada yang panjang berjela. Berbagai majlis “rumah terbuka” dan juadah dijadikan laba sebagai laluan bagi meluahkan ucapan yang sama. Kadangkala hadirin hanya datang makan. Tidak sempatpun bersua muka dengan tuan rumah.

Ikhlaskah kita dalam berbalas ucapan itu? Berkesankah permohonan maaf secara umum begitu? Ataukah ini hanya menjadi sebahagian daripada amalan adat, kebiasaan kita dalam menyambut syawal?

MENGIMBAU KEFASIKAN MAAF SEPANJANG RAYA

Ramai yang mula sedar lalu meluahkan rasa terkilan dengan budaya mengulangi maaf secara umum begitu. HAKIKATNYA masing-masing masih meneruskan dosa yang sama selepas setiap sesi bermaafan. Seolah-olah sesi bermaaf-maafan di pagi raya itu tiada kesannya dan tidak berjaya mewujudkan sejahtera sesama kita. Kami tidak mampu menjawab satu persatu melainkan mengulas gejala ini secara umum sahaja. 

Sudah menjadi lumrah yang tidak fitrah di mana apabila semua ahli keluarga berkumpul di hari raya, ada banyak karenah yang sebahagian dari kita tidak suka. Yang paling biasa ialah budaya kata mengata, pilih kasih dan beza membeza di kalangan adik beradik, ipar duai bahkan khilaf ibubapa sendiri terhadap menantu dan anak cucu mereka.

Yang paling ketara dan menghiris hati ialah apabila kesilapan yang sama dilakukan berulang-kali saban tahun. Padahal setiap tahun ada sesi bermaaf-maafan sewaktu beraya. Antaranya sikap ibubapa yang pilih kasih dan suka merendah-rendah anak-anak atau menantu yang satu dengan yang lain. Begitu juga tabiat umpat keji sebahagian ipar duai, terutamanya yang berpenyakit hati.

Sering juga terjadi kecelaruan dan kecil hati apabila anak cucu yang ‘rendah tarafnya’ di mata ibubapa dan ipar duai yang ‘tinggi hidungnya’. Sindir menyindir berlaku dalam berbagai bentuk dan rupa, samada secara lisan mahupun perbuatan. Keadilan dan keikhlasan menyantuni mereka tidak berlaku sepanjang berkumpul di musim raya. Yang kaya dan terpelajar, yang menghulurkan banyak duit raya selalu dipuja. Yang miskin dan tidak terpelajar selalu dihina malah diberi lebih 'kerja'.

BAGAIMANA ETIKA BERMAAFAN DALAM ISLAM

Nabi SAW dikatakan maksum dan terpelihara, namun beristighfar sekitar 100 kali sehari. Padahal segala tindak tanduk baginda sentiasa dipimpin wahyu. Begitu berhalusnya nabi SAW dalam usaha menyucikan hati.

Bagi kita manusia biasa, telah Allah tetapkan solat 5 waktu, 17 rakaat setiap hari sebagai takwim harian minimum. Di situ ada proses solawat, syahadah, istighfar, takbir, tasbih, doa, ikrar dan sebagainya. Itu salah satu dari pendidikan secara takwim HARIAN yang sangat alami bagi umat Islam. 

Sebenarnya bermaaf-maafan sesama kawan dan pasangan hidup harus dilakukan setiap hari, bukan setahun sekali. Semasa meminta maaf perlu sebutkan satu persatu kesalahan yang telah kita lakukan dengan jelas dan BERSEGERA. Kemudian kita azamkan untuk bertaubat, iaitu tidak sekali-kali MENGULANGI kesilapan yang sama. 

Cara ini akan dapat mengurangkan beban emosi dalam diri sendiri, pasangan dan juga sahabat handai kita. Hidup akan jadi semakin redha dan ceria. Mentakwimkan diri untuk bermuhasabah dan memohon ampun, dan kesudian memaafkan orang lain setiap hari itu juga sebahagian dari tanda orang bertakwa.

QS: 2 al-Baqarah : ayat 237; “...dan perbuatan kamu bermaaf-maafan itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” 

QS: 3 al-Imran : ayat 133-134 ;“Dan BERSEGERALAH kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang terbentang seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan amarahnya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat KEBAIKAN” 

Orang-orang yang enggan memohon maaf dan memberi kemaafan dengan tulus, malah berterusan melakukan dosa yang sama sebenarnya akan sibuk melayani bisikan syaitan. Inilah juga yang sering terjadi sepanjang syawal. Bibir melafazkan maaf secara umum dan acuh tak acuh, namun tidak jelas apakah maaf yang dipohon atau ingin dimaafkan. Hati masih juga terus dipenuhi dengan dendam kesumat dan umpat keji yang berpanjangan. 

Orang yang tidak menghormati orang lain, adalah orang yang tidak terhormat. Orang yang dihinakan itu belum tentu hina, tetapi perbuatan menghinakan orang lain itu sudah menjadi bukti atas kehinaan diri mereka sendiri.

QS: 49, Al-Hujurat: 11 : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah dia beriman dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang-orang yang zalim.” 

Sabda Rasulullah SAW, “Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengeluarkan kata buruk dan kesat”. (HR. Bukhari dan Ahmad)

KESIMPULAN

Memaafkan orang dan memohon maaf atas kesalahan itu amat dituntut, tetapi ia harus dilakukan secara khusus sebaik sahaja kita sedar telah melakukan dosa. Jangan tunggu ke hari raya baru mahu minta maaf. Itupun hanya dengan lafaz “Maaf banyak-banyak yerr… Kosong kosong yer… Maaf zahir batin yerrr…” dengan gaya acuh tak acuh.

Budaya ini akan memberi ruang kita MENGHIMPUN dan MENGULANG-ULANGI dosa yang sama sepanjang tahun. Tentunya lafaz ringkas itu tidak mampu menghapus dosa yang terhimpun dan menggunung.

QS: 42. Asy Syuura 40. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat ISLAH (PEMBAIKAN) maka ganjarannya atas Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim. 

"Sesiapa mengucapkan 'astaghfirullah hal 'azim al lazi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih', akan diampuni dosa-dosanya, walaupun dia pernah lari dari medan peperangan". (HR Al Hakim)

"Sesiapa yang mengucapkan pada masa dia mahu tidur : 'astaghfirullah hal 'azim al lazi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa ATUBU ilaih', maka diampun dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan, walaupun sebanyak bilangan daun di pokok, walaupun sebanyak pasir di pantai dan walau sebanyak mana bilangan hari di dunia." (HR at-Tirmizi, Hasan Gharib, al-Jami', no. 3397)

Oleh itu, amalkanlah SEGERA memohon keampunan pada setiap kali kita melakukan silap dan dosa. Maaf hanya diterima apabila ia dipohon bersama penyesalan dan azam untuk TIDAK MENGULANGINYA. Secara syariatnya, AMPUN harus disertai dengan TAUBAT (tidak mengulanginya). 

QS:4. An Nisaa' 17-18. 

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah HANYALAH taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran KEJAHILAN, yang kemudian mereka bertaubat dengan SEGERA, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. 

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan hingga apabila datang AJAL kepada seseorang di antara mereka, ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat SEKARANG." Dan tidak orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan SIKSA yang pedih”. 

Akhirnya, hentikanlah budaya was-wis, menghasut atau “cakap belakang” dengan mengumpat dan mencerca. Gantikan dengan budaya basmalah, menegur serta saling menasihati dengan telus dan ikhlas (QS: 36/17: QS:103). Sesungguhnya budaya fitnah, waswis dan mencerca itu amalan syaitan. Ia ibarat memakan daging saudaranya yang telah mati dan lebih besar dari dosa membunuh.

WARGA PRIHATIN

blog saya satu lagi boleh dilawati :  http://jasminshahab205.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment