PERKARA YANG MEMBANTU SESEORANG ITU ISTIQOMAH DI BULAN RAMADHAN
Oleh: Habib Ali Zainal Abidin Bin Abdurrahman Al-Jufri.
“Bulan Ramadhan adalah peluang untuk mendapatkan pengampunan dan mendekatkan diri kepada Allah. Banyak kali berlaku pada setiap tahun kita dapati diri kita penuh bersemangat beribadah pada permulaan Ramadhan dan seseorang itu mendapati dirinya sangat mudah melakukan solat terawih serta gembira membaca Al-Quran. Kemudian ramai yang mengadu semangat ini semakin lemah apabila berlalunya seminggu atau sepuluh hari Ramadhan. Mulalah diri merasakan jemu dan bosan serta bebanan. Kebanyakkan dari kita merasai perasaan sedemikian.”
“Untuk mengubati semua itu, kita mestilah melakukan 4 perkara ini dan apabila kamu menjaga 4 perkara ini, semangat kamu akan terus berkekalan hingga ke akhir Ramadhan bahkan ianya semakin bertambah pada 10 malam terakhir Ramadhan sepertimana ibadah Rasulullah ﷺ begitu juga ibadah ahli keluarga Baginda ﷺ serta para sahabat. Cara/perkara yang menjaga semangat ketaatan seseorang itu adalah: (1) Doa dan pengharapan kepada Allah SWT: “Ya Allah bantulah aku untuk terus mengingati-Mu (berzikir), bersyukur pada-Mu dan melaksanakan ibadah dengan baik pada-Mu”, (2) Menjaga pandangan, pendengaran dan pertuturan dari perkara yang diharamkan Allah, dan (3) Pastikan setiap dari kita ketika beribadah, hatinya sentiasa hadir bersama Allah SWT, dan (4) Meletakkan satu had paling sedikit dalam beribadah agar ibadah tidak berkurangan (Contohnya baca Al-Quran satu juzuk satu hari, tidak tinggal solat terawih dan sebagainya).”
“YANG PERTAMA; DOA DAN PENGHARAPAN KEPADA ALLAH SWT. Iaitu kamu setiap malam atau setiap kali selepas solat mohon kepada Allah agar diberikan ketaatan kepada-Nya. Kerana ketaatan adalah pemberian dari-Nya. Setiap manusia masih lagi belum terbaik ketaatan pada-Nya. Sebab itu ada hadis dari Rasulullah ﷺ ketika saidina Muaz bin Jabal r.a. bersama Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ bersabda padanya: “Wahai Muaz, aku kasih padamu. Jangan kamu tinggalkan setiap kali selepas solat untuk berdoa: “Ya Allah bantulah aku untuk terus mengingati-Mu (berzikir), bersyukur pada-Mu dan melaksanakan ibadah dengan baik pada-Mu.”
“Doa yang nampaknya mudah pada diri dan hati kita namun demikian ianya penuh dengan kebaikan dan kemanfaatan yang sangat agung. Ianya adalah hadiah dari Nabi ﷺ kepada sesiapa yang Nabi ﷺ cintai. Baginda ﷺ bersabda: “Wahai Muaz, aku kasih padamu.” Sehingga para ulama menamakan hadis ini adalah ‘Al-Hadis Al-Musalsal Bil Mahabbah’. Apakah maknanya? Nabi ﷺ bersabda kepada Muaz: “Wahai Muaz, aku kasih padamu. Jangan kamu tinggalkan setiap kali selepas solat untuk berdoa: “Ya Allah bantulah aku untuk terus mengingati-Mu (berzikir), bersyukur pada-Mu dan melaksanakan ibadah dengan baik pada-Mu.” Dan Muaz meriwayatkan pada orang selepasnya: “Aku kasih padamu. Jangan kamu tinggalkan setiap kali selepas solat untuk berdoa: “Ya Allah bantulah aku untuk terus mengingati-Mu (berzikir), bersyukur pada-Mu dan melaksanakan ibadah dengan baik pada-Mu.” Dan Tabien meriwayatkan kepada Tabie Al-Tabien dan terus berangkaian kepada guru-guru yang kita hadir pada mereka dan mereka meriwayatkan hadis itu kepada kita dengan riwayatnya: “Aku kasih padamu. Jangan kamu tinggalkan setiap kali selepas solat untuk berdoa: “Ya Allah bantulah aku untuk terus mengingati-Mu (berzikir), bersyukur pada-Mu dan melaksanakan ibadah dengan baik pada-Mu.” Maka perkara yang pertama adalah berdoa penuh harapan kepada Allah: “YA ALLAH BANTULAH AKU UNTUK TERUS MENGINGATI-MU (BERZIKIR), BERSYUKUR PADA-MU DAN MELAKSANAKAN IBADAH DENGAN BAIK PADA-MU.”
“Nabi ﷺ apabila bertemu dengan bulan Ramadhan, Baginda berdoa: “Ya Allah selamatkan kami untuk Ramadhan dan selamatkanlah Ramadhan untuk kami.” ‘Selamatkan kami untuk Ramadhan’ iaitu sampaikanlah kami dengan Ramadhan. Selamatkan kesungguhan kami sehingga datangnya Ramadhan kepada kami, kami dalam semangat ibadah kepada-Mu. ‘Dan selamatkan Ramadhan untuk kami’ iaitu jagalah Ramadhan ini daripada kami merosakkan dengan kelakuan buruk kami terhadap anugerah pemberian-Mu. ‘Dan selamatkanlah ia untuk kami’ iaitu terimalah serta berikanlah kami kesungguhan beribadah sehingga penghujung bulan Engkau menerima segala amalan kami. Jadi perkara yang pertama berdoa penuh pengharapan kepada Allah kerana ibadah memerlukan kepada kesungguhan. Rajin beribadah dan taat kepada-Nya adalah pemberian dari-Nya.”
“YANG KEDUA; MENJAGA PANDANGAN, PENDENGARAN DAN PERTUTURAN. Apakah maknanya? Hendaklah setiap dari kita menjaga tiga perkara ini sewaktu berpuasa di pagi hari dan ketika berbuka di malam hari. Menjaga matanya dari melihat benda yang diharamkan Allah. Menjaga telinganya dari mendengar sesuatu yang tidak disukai Allah seperti mengumpat, mengadu domba dan kata-kata kesat. Menjaga lidahnya dari berkata sesuatu yang tidak disukai Allah seperti menceritakan keburukan manusia, menyakiti hatinya, menuturkan kata-kata yang kesat dan membuat pembohongan. Apabila seseorang itu telah menjaga dan menyucikan pandangannya, pendengarannya dan pertuturannya maka di situ dia telah menjaga dan menyucikan hatinya. Jadi yang pertama tadi berdoa kepada Allah, yang kedua menjaga anggota tubuh badannya.”
“DAN YANG KETIGA; PASTIKAN SETIAP DARI KITA KETIKA BERIBADAH, HATINYA SENTIASA HADIR BERSAMA ALLAH. Tidak hanya menjadikan solat terawih itu hanyalah rakaat-rakaat sahaja kemudian habis. Semua yang berlaku di sekeliling, semua permasalahan dan segala bentuk keadaan datang ketika sedang solat. Apabila dia menggangkat takbir, mulalah bermacam-macam keadaan datang menjelma. Tentang orang pergi sana sini, iklan super market dan bermacam-macam. Setiap dari kita perlu bersungguh-sungguh menghadirkan hati bersama Allah SWT ketika beribadah. Dan apabila seorang itu mengambil al-Qur’an untuk dibaca janganlah dirasakan huruf sahaja yang dibaca. Apabila dia memegang al-Qur’an, dia memastikan dirinya membaca 2 atau 3 atau 1 juzu’ setiap hari. Ketika membaca dia melihat sudah habis berapa hizib dan tinggal berapa lagi (muka surat). Bukanlah sebegini membaca al-quran. Sepatutunya kita mesti mengawasi hati ini untuk sentiasa hadir bersama Allah SWT ketika beribadah. Para Sahabat r.a. dan Tabien terdahulu apabila mengambil al-quran utnuk dibaca, mereka merasakan di hati mereka kebesaran dan ketakutan pada-Nya. Sehingga merasakan adalah yang berfirman ini adalah Allah. Ya, memang dia membaca dengan suaranya sendiri tapi yang berbicara dalam firman ini adalah Allah SWT. Ini adalah kalamullah. I’krimah r.a. apabila dia mengambil al-quran dan membukanya ketika dia melihat huruf al-quran terus meresap ke hatinya kebesaran dan keagungan Allah. Seraya berkata; “Ini firman Tuhanku, ini firman Tuhanku, ini firman Tuhanku.” Dia jatuh ketakutan mengalir air mata sebelum memulakan pembacaannya lagi. Kerana dia merasakan yang berada di hadapannya itu adalah firman Tuhanku. Menghadirkan hati bersama Allah SWT itu susah dan ianya memerlukan kesungguhan. Ianya tidak datang pada hari yang pertama, kedua, ketiga atau kesepuluh. Allah SWT berfirman: “Dan mereka yang berusaha mencari keredhaan KAMI, sungguh KAMI akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan KAMI.” Allah Taala berjanji pada sesiapa yang berusaha untuk menghadirkan hati bersama Allah, akan di tunjukkan jalan-Nya yang benar.”
“DAN YANG TERAKHIR SETIAP DARI KITA MELETAKKAN SATU HAD PALING SEDIKIT DALAM BERIBADAH AGAR IBADAH TIDAK BERKURANGAN. Contoh seperti solat berjamaah aku tidak akan tinggalkan dalam bulan Ramadhan ini, baca Al-quran sejuzu’ setiap hari tidak akan aku tinggalkan sekalipun letih jika ada kesungguhan lebih aku akan baca 2 juzu’ atau 3 setiap hari tapi tidak akan kurang dari sejuzu’ dalam apa jua keadaan. Kalau dalam sehari itu aku lalai menyebabkan tertinggal sejuzu’ maka hari seterusnya aku akan baca 2 juzu’ yang penting tidak akan kurang dari had yang telah aku tetapkan ini. Solat terawih aku tidak akan tinggalkan. Sekiranya dia mampu melaksanakan solat terawih dengan sempurna 20 rakaat seperti yang disepakati oleh para ulama maka itu yang terbaik. Jika tidak mampu solatlah 10 atau 16 atau 14 atau 8 rakaat. Yang penting dia meletakkan had supaya dia tidak kurang dari had itu. Dan pemuda yang masih lagi sihat, tidak sepatutnya kurang dari solat 20 rakaat. Jika dia mampu bersolat bersama imam yang membaca sejuzu’ sehari, hendaklah dia beriltizam dengannya. Kerana dia dapat khatam al-quran dalam solat. Jika dia tidak mampu kerana letih atau terasa diri lemah, carilah imam yang bersolat 20 rakaat dengan sederhana bacaan tidak panjang, solatlah bersamanya. Yang penting meletakkan had supaya dia tidak kurang dari had itu. Apabila dia merasakan kerajinan penuh bersemangat, naikkan had itu. Tambahkan lagi ibadah serta penghambaan kepada-Nya. Kerana had ini membantu ibadah agar terus beristiqamah dan bergaul dengan orang soleh akan lebih banyak membantu dalam beribadah. Aku memohon pada Allah untuk diriku dan juga kamu agar diberikan kesempurnaan taufiq-Nya. Aamiin.”
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://jasminshahab205.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment