Amalan sedekah paling afdal pada Ramadan
AMALAN bersedekah yang amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran
pahala yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa
menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda
Rasulullah yang bermaksud,
“Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari).
Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan
bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada
banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai
keikhlasan niat di hati.
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud,
“Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik
dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT
akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk
diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian
memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti
gunung”. (Hadis Bukhari)
Begitulah indahnya ajaran Islam yang
menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah SWT sendiri menjamin pahala
untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka.
Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa
malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan
seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi
Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan. Ini dapat kita perhatikan menerusi
satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata:
“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar
kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril
biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan
Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang
lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak
daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim)
Jadi
berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat
Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih
semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat itu.
Dalam soal memberi sedekah itu, semua orang mampu melakukannya sama ada
dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit. Apa yang utama ialah sikap
dan niat kita mesti menjuruskan kepada ikhlas kerana Allah SWT. Banyak
yang boleh seseorang sumbangkan sebagai sedekah pada bulan Ramadan ini.
Antaranya ialah memberikan makan minum kepada orang berpuasa. Dalam
masyarakat Melayu, menyediakan juadah untuk berbuka sentiasa diadakan di
masjid, surau mahupun di madrasah. Hal itu sangat mulia dan wajar
diteruskan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
’
Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang
berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa;
sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit
pun. (Hadis At Tirmidzi)
Hadis ini mendorong kita umat Islam
supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi
menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain.
Alangkah
indahnya tuntutan Islam ke atas umatnya kerana dengan pengamalan
bersedekah khususnya ketika bulan Ramadan pasti membibitkan rasa
kebersamaan dan semangat ukhwah yang mantap dalam kalangan ummah.
Justeru, ketika kita sedang asyik menunaikan ibadah berpuasa di bulan
Ramadan ini, segala amalan sunat dan amal makruf seperti bersedekah
seharusnya diperbanyakkan dengan satu niat, hanya ingin mendapat reda
Allah. Insya-Allah mereka yang pemurah dalam bulan Ramadan itu pasti
‘dekat dengan Allah’ dan Allah SWT meredainya serta diberikan ganjaran
pahala yang besar.
No comments:
Post a Comment