09 March 2013

LEMBUTKANLAH HATIMU


share dari link fb ~Bicara Hidayah

LEMBUTKANLAH HATIMU
DALAM bidang perubatan, satu rumusan atau kesimpulan telah diputuskan (digazetkan) bahawa jantung (hati) yang sihat merupakan faktor utama dan menjadi sumber kesejahteraan hidup seorang manusia. Bahkan semua orang menerima (akur) bahawa selagi jantung berada dalam keadaan baik yakni masih berfungsi mengepam darah secara teratur (sistematik) ke seluruh anggota tubuh, maka selagi itulah manusia berada dalam keadaan sihat wal ‘afiat.

Justeru, dengan sifir atau kaedah yang sama, telah dirumuskan secara muktamad bahawa kebaikan jasmaniah (lahiriah) seseorang itu bergantung (terletak) kepada kebaikan hatinya (rohaniah) kerana hati merupakan anggota yang paling penting di dalam tubuhnya.

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم yang bermaksud:

♥ ♥ ♥ ♥ “Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging, bilamana dia baik, maka baiklah seluruh anggota dan bilamana dia rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah itulah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


PERBEZAAN PENDAPAT MENGENAI HATI DAN AKAL

1) Para ulama mazhab Imam as-Syafi‘i rahimahullah mengatakan bahawa: Sumber asal pada akal (‘aqlun) ialah hati dan otak yang terdapat di dalam kepala itu hakikatnya berasal dari hati.

Apa dalil mereka?

Firman Allah سبحانه وتعالى: لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا

“Mereka mempunyai hati, namun (tetapi) mereka tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah).” (Surah al-A‘raf: 179)


Hujah dan pandangan yang sama diguna pakai oleh ahli falsafah dan ulama mutakallimin.

2) Manakala mazhab Imam Abu Hanifah rahimahullah mengatakan bahawa: Akal itu terletak pada otak.

Pendapat yang serupa telah diterima pakai dan dikeluarkan oleh para doktor (ahli perubatan) dengan hujah bahawa bilamana otak menjadi rosak maka rosaklah akal manusia.

Kajian dan pemerhatian berterusan dalam ilmu perubatan telah mengesahkan bahawa punca fikiran seseorang manusia itu terletak di (pada) otaknya kerana pancaindera yang lain hanya akan bergerak dengan arahan yang dikeluarkan oleh otak.

SUMBER YANG ASAL

Sekalipun terdapat dua perbezaan pendapat dalam hal ini, namun satu kenyataan umum telah diterima pakai bersama bahawa HATI kekal sebagai sumber asal kehidupan (pergerakan) seluruh anggota badan termasuklah otak.

Hujah dan rasionalnya ialah bilamana hadis Nabi صلى الله عليه وسلم mengatakan bahawa kesejahteraan jasad lahiriah dan fikiran dihubungkaitkan dengan hati, ia membawa makna jasad dan fikiran telah dihubungkan dengan sumbernya yang asal.

Sumber kehidupan kita yang asal inilah yang wajib dipelihara dan dijaga supaya sumber tersebut sentiasa bersih pada pandangan Allah سبحانه وتعالى. Hati itu amanah Allah kepada kita untuk dijaga dengan segala daya upaya yang ada.

Menjaga amanah ini sememangnya tugas yang amat berat dan sukar lebih-lebih lagi dengan kewujudan dua musuh tradisi manusia yang sangat menginginkan agar manusia tersembam ke lembah kehinaan dan kemurkaan Tuhan. Siapa lagi mereka kalau bukan syaitan dan nafsu?

Namun bagi para solehin yang telah membulatkan azam dan tekad semata-mata mahu membesarkan Allah lewat kehidupan di dunia yang sementara ini, insya-Allah laluan penuh ranjau ini pasti akan dipermudahkan Allah buat mereka. Itu janji-Nya yang pasti.

Jika Allah mahu memudahkan perjalanan hidup seseorang, maka Allah boleh sahaja memudahkan segala urusannya kerana kunci kemudahan itu ada di dalam genggaman-Nya. Kunci hidayah dan kunci kemudahan itu ada dalam kesungguhan berjihad dan bermujahadah di jalan-Nya. Itulah jaminan Allah sejak berabad yang lalu.

Firman Allah سبحانه وتعالى yang bermaksud:

♥ ♥ ♥ ♥ “Mereka yang berjihad /bermujahadah (bersungguh-sungguh) di jalan Kami pasti akan Kami tunjuki (beri hidayah) jalan-jalan Kami; Sungguh, Allah bersama orang yang berbuat baik.” (Surah al-‘Ankabut: 69)

Setelah Allah memerintahkan manusia memelihara dan membersihkan hati mereka, Allah telah, sedang dan akan melihat dan memantau pula siapa yang sanggup taat melaksanakan perintah-Nya dan siapa pula yang membelakangkan perintah-Nya itu.

Yakinilah bahawa pemantauan dan penilaian Allah itu Maha Halus lagi terperinci “detail”. Dengan penilaian yang terperinci itu, maka Allah dapat menyaring daripada kalangan hamba-hamba-Nya nanti siapakah antara mereka yang benar taat dan patuh kepada-Nya.

Nah, kepada yang taat, dijanjikan keberuntungan dan kejayaan yang besar. Manakala buat mereka yang culas (sangat malas) dan ingkar dijanjikan untuk mereka kerugian dan kehinaan.

Allah سبحانه وتعالى berfirman lagi yang bermaksud:

♥ ♥ ♥ ♥ “Sungguh beruntunglah orang yang senantiasa membersihkan jiwanya dan sungguh merugilah orang yang senantiasa mengotori jiwanya.” (Surah asy-Syams: 9)


“Kenapakah hati jadi sakit, kotor ,kasar, keras, buta atau terkunci? Jawapan kepada persoalan tersebut tidak lain disebabkan oleh dosa yang kita lakukan sama ada sedar ataupun tidak …

“Dosa-dosa itulah yang menjadi penghalang taqarrub kita kepada Allah سبحانه وتعالى. Doa-dosa itulah juga yang menjauhkan kita dari jalan kebenaran. Dosa-doa itulah yang mengeraskan hati kita hingga payah untuk menerima ilmu, nasihat dan teguran.”

Disedut dari Galeri Ilmu di laman: bukugaleri.blogspot.com
___________
Shared By: bicara.hidayah 2 ( .. buat diriku ..)
Foto Illustrasi: Flickr.com

No comments:

Post a Comment