20 March 2013

SURAH al-Takathur



SURAH al-Takathur mengandungi lapan ayat, ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kauthar. Hubungan surah ini dengan surah al-Qari’ah adalah dalam surah al-Qari’ah diterangkan tentang hari kiamat dan sebahagian huru-haranya serta balasan orang yang melakukan kebaikan dan orang yang melakukan keburukan.

Dalam surah al-Takathur ini pula disebutkan neraka Jahim iaitu neraka Hawiyah yang tersebut dalam surah al-Qari’ah. Disebutkan juga pertanyaan tentang amalan-amalan perbuatan manusia yang mereka lakukan semasa hidupnya dan sesetengah ini daripada urusan hari akhirat.

Terjemahan
AT-TAKATHUR

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

(1) Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),

(2) Sehingga kamu masuk kubur.

(3) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

(4) Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

(5) Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

(6) (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang.

(7) Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

(8) Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
 

No comments:

Post a Comment