13 March 2013

:: Pesona yang memperdaya ::

share dari wall fb ~Akhi Tinta Khalifah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Sahabat yang dihormati,

:: Pesona yang memperdaya ::

Nilai kehidupan dunia tidak diukur pada melimpah ruahnya harta, tingginya pangkat kedudukan, ataupun kesenangan duniawi. Perlu diinsafi bahawa semua itu hanyalah bersifat sementara. Oleh itu, seorang Muslim janganlah menjadikan semua itu tujuan akhir atau matlamat kehidupan dunia.

Jika diamati secara mendalam, al-Quran memberikan gambaran bahawa kehidupan dunia berada di bawah naungan keredhaan Ilahi sebenarnya tidaklah membuatkan Muslim terlena dalam urusan dunia dan melupakan kehidupan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." (Ali-Imran : 185)

Pertama, dunia digambarkan sebagai satu permainan sia-sia dan senda gurau melalaikan. Kesenangan dunia dinikmati insan tidak bersifat kekal. Untuk itu, setiap Muslim jangan mudah terpedaya silauan dunia dan jangan juga mudah lalai memberi perhatian kepada urusan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (Al-An’am : 32)

Kedua, dunia itu perhiasan yang mempesonakan. Kehidupan dunia berupa wanita, keturunan, harta dari jenis emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternak, sawah ladang, dan sebagainya hanyalah sebuah perhiasan, bukannya sesuatu yang bernilai di sisi Allah SWT.

Ketiga, dunia juga disifatkan sebagai kehidupan penuh helah dan tipu daya kerana dunia dapat menundukkan manusia, berupaya membuatkan mereka cenderung dan cinta kepadanya, di samping mengakibatkan mereka lalai melaksanakan kewajipan untuk mengadap Allah SWT.

Keempat, dunia ini adalah himpunan harta benda yang dicari manusia. Namun, ingatlah bahawa harta benda ini tidak akan kekal untuk selamanya. Sebaliknya, kehidupan dunia ini sebenarnya datang hanya untuk memberi peringatan kepada setiap insan sifat dunia yang bersifat sementara.

Selain itu, Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:
"Kekayaan yang sebenarnya bukanlah terletak pada banyaknya harta benda, akan tetapi terletak pada kelapangan hati."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sekiranya orang yang berakal mahu berfikir sejenak, pasti dia akan mengetahui kadar dan kehinaannya serta tipudayanya. Dunia itu terlihat seperti fatamorgana. Orang yang kehausan mengira itu adalah air, padahal apabila dia mendekatinya, dia tidak akan memperoleh apa-apa. Dunia juga dihiasi dengan berbagai macam kemegahan dan sesuatu yang menggiurkan. Allah berfirman maksudnya:

"Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-pemiliknya mengira bahawa mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab kami di waktu malam atau siang, lalu kami jadikan (tanam-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang berfikir. (Yunus: 24)

Jadi, akhir dunia ini adalah ketiadaan dan kebinasaan. Keindahannya adalah petaka dan penyesalan.
Inilah dunia...
 

No comments:

Post a Comment