08 March 2013

NAFSU, Martabat Nafsu dan Tingkat2nya Nafsu

share dari link fb ~Mohamed Ibrahim Maricar

NAFSU
• Sebaik-baik nafsu adalah yang dilawan dan seburuk-buruk nafsu adalah yang diikuti.
• Tanpa menahan hawa nafsu maka manusia tidak akan sampai pada Tuhannya sama sekali dan kedekatan manusia terhadap Allah menurut kadar pembersihan jiwanya.
- Habib Umar Bin Hafidz

Martabat nafsu. 
Adapun takrif nafsu boleh dibahagikan kepada dua (2) iaitu :

Nafsu adalah satu perlakuan naluri manusia yang mendorongkan perlakuan yang dikuasai oleh iblis laknatullah untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syari’at dan hakikat Allah swt. Ianya terbit daripada kekotoran hati manusia dengan Allah swt.

Nafsu juga boleh ditakrifkan sebagai suatu martabat kelakuan hati dan kalbun manusia di dalam arah tuju ke martabat kesucian seseorang itu pada hakikat dan makrifat dengan Allah swt. Ianya boleh ditafsirkan sebagai taraf dan tahap hijab-hijab yang harus ditembusi oleh manusia untuk mengenal dirinya dan mengenal ia akan Tuhannya.

Adapun nafsu itu letaknya di cabang hati manusia. Ianya bertindak sebagai dinding (hijab) perhubungan diantara diri rahsia manusia dengan tuan empunya diri (Tuhannya).

Oleh itu tugas manusia yang hendak menuju kepada makrifat hendaklah pula memecahkan ruyung-ruyung hijab ini sehingga ianya sampai ke martabat yang paling tinggi kemuliaannya di sisi Alah swt. dan bebaslah diri batin manusia itu untuk bertemu dengan diri empunya Diri pada setiap saat dan ketika. Tanpa memecahkan ruyug-ruyung nafsu tadi, manusia tidak mungkin dapat kembali kepada Tuhannya semasa hidup didunia ini sehingga ia mematikan dirinya(menguasai nafsunya) sebelum mati.

Untuk menuju ke jalan makrifat Tuhanya haruslah pula berusaha supaya sampai ke martabat mematikan diri sebelum mati.

Adapun Martabat Nafsu pada diri manusia itu, adalah terdiri dari tujuh (7) nafsu sebagaimana yang termaktub didalam Al-Quran :

Nafsu AMARAH
Nafsu LAWAMMAH
Nafsu MULHAMAH
Nafsu MUTMAINNAH
Nafsu RADHIAH
Nafsu MARDHIAH
Nafsu KAMALIAH


“Sesungguh nya Kami telah menciptakan ke atas dirimu tujuh jalan (nafsu)”
( Surah Al-Mu’minun ayat – 17 )


1. NAFSU AMARAH
Nafsu Amarah itu adalah satu kelakuan hati yang menerbitkan suatu perangai yang mengandungi sifat-sifat Mazmumah yang terampau banyak.

Manusia-manusia yang memiliki nafsu Amarah biasanya memiliki sifat-sifat Mazmumah iaitu sifat yang dikeji oleh Allah swt. Iaitu sifat-sifat seperti dengki, khianat, iri hati, pemarah, berang, dan lain-lain lagi. Biasanya mereka yang dikuasai nafsu Amarah bertindak tanpa menggunakan akal. Kadang kadang mereka merasa diri merekalah berkuasa dan semuanya adalah hak mereka. Mereka boleh bersultan di mata dan beraja di hati. Seperti Firman Allah :

“Sesungguhnya Nafsu Amarah itu sentiasa menyuruh berbuat jahat”
(Surah Yusof – ayat 53)

dan FirmanNya lagi :

“Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi Tuan dan dia disesatkan Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya) lalu di tutup Allah pendengarannya (telinga batin), mata basirnya(mata hati) dan tetap tertutup.”
(Surah Al-Jaashiah – ayat 23)

Dan sesungguhnya orang-orang yang dikongkongi oleh nafsu Amarah biasanya tidak tahan di uji dan jika di uji dengan satu-satu bentuk ujian atau satu cabaran dan dugaan mereka terus melenting bertindak mengikut fikiran dibawah hasutan syaitan dan kuncu-kuncunya.
Pada peringkat nafsu ini, manusia tetap dikuasai oleh iblis, jiwa mereka sentiasa tegang, fikiran sentiasa kusut, pegangan hanyut dan hati jarang-jarang sekali mengingati Allah SWT.

Mereka di peringkat nafsu ini akan mengingati Tuhan ketika susah dan melupaiNya ketika senang seperti firman Allah di dalam Al-Quran :

“Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri, tetapi bila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdoa.”
(Surah Fusilat – ayat 51)

Mereka juga bertindak di dalam sesuatu hal, langsung tidak berpandu kepada syariat Allah swt. tetapi mereka lebih berpandukan fikiran, angan-angan dan tidak pula pernah terbit pada hati mereka satu perasaan salah terhadap perbuatan salah yang mereka sendiri lakukan.

Sesungguhnya nafsu Amarah ini adalah nafsu binatang. Malahan ianya lebih hina daripada binatang bagi mereka yang menguasai nafsu Amarah.
Mereka mempunyai hati yang tidak memerhati, mempunyai mata yang tidak melihat, mempunyai pendengaran yang tidak mendengar, malahan boleh disifatkan mereka ini sebagai seekor binatang yang berupa manusia.

Seperti firman Allah di dalam Al-Quran :

“Akan di campakkan ke dalam neraka Jahanam daripada golongan-golongan jin dan manusia yang mempunyai hati tidak memerhati, yang mempunyai mata tidak melihat, yang mempunyai pendengaran tidak mendengar, mereka itu adalah seperti binatang, malahan lebih hina daripadanya dan mereka lah termasuk daripada orang-orang yang lalai”
(Surah Al-A’araf – ayat 179)

Perlu juga diingatkan bahawa bagi orang-orang yang dikuasai oleh nafsu Amarah biasanya suka bersifat bermuka-muka dengan sesuatu yang diperolehinya dan suka memperbodohkan kelemahan orang lain walaupun rakan karibnya sendiri. Mereka mencela orang lain dan membayangkan dialah orang yang paling baik dan sempurna. Mereka bertindak menjaja keburukkan orang kepada orang lain dengan harapan keburukkan orang itu dapat memberi keuntungan kepada diri mereka.

Justeru daripada itu, adalah menjadi kewajipan diri manusia tersebut haruslah menyucikan sifat-sifat nafsu Amarah tadi supaya terbitnya sifat-sifat murni dan hilangnya sifat-sifat mazmumah dalam diri manusia itu seperti firman Allah :-

“Demi nafsu (manusia) dan kesempurnaan (kejadian) maka Allah mengilhamkan kepada nafsu itu jalan kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan nafsunya”
(Surah Asy Syam – ayat 7-10)

Oleh yang demikian maka seseorang itu hendaklah berguru dan berzikir menyucikan diri nya mengikut petua-petua yang diberi oleh guru mereka di dalam usahanya membersihkan dirinya dengan Allah swt.
Maka beramal lah mereka dengan petua-petua yang diberi oleh gurunya sehinggalah terbitnya peningkatan ke satu martabat nafsu yang seterusnya yang bernama nafsu Lawamah.

Zikir orang-orang Amarah biasanya di lidah tanpa menyerap di dalam hatinya. Zikirnya kosong tidak bertenaga dan bermaya dan sesungguhnya zikir adalah merupakan klorox bagi menyucikan kekotoran hati yang tidak boleh dicucikan oleh jenis-jenis sabun yang lain.

Jiwa mereka pada masa ini kosong hubungan dirinya dengan Empunya Diri adalah terputus langsung. Malahan diri rahsianya dihijab tebal daripada Allah swt. Diri batinnya kurus melidi, sakit tersiksa sedangkan badan zahirnya gemuk dan sihatnya seperti ubi kayu di tanah bukit, sedang tubuh batinnya di anai-anaikan oleh nafsu Amarah.

Penyakit Nafsu Amarah ini jika dibiarkan menular pada jiwa manusia ianya menyebabkan bertimbunnya pada hakikat selaput-selaput tebal, gelap dan kemas untuk mengingati Tuhannya. Dan hidupnya terus hanyut tidak berpedoman sebagai kabus di waktu pagi ataupun bagai awan di langit. Sesungguhnya bagi mereka yan dikuasai nafsu Amarah merekalah termasuk di dalam golongan manusia yang rugi di sisi Allah SWT.

2. NAFSU LAWAMMAH

Pada peringkat nafsu Lawammah manusia telahpun dapat menguasai satu perasaan semacam melarang seseorang manusia itu melakukan sesuatu kesalahan kezaliman dan apa saja yang ditegah oleh syariat.
Perasaan ini timbul pada sudut-sudut hatinya pada setiap ketika mereka melakukan sesuatu kesalahan, maka bisikan di dalam hati mereka inilah dinamakan Lawammah.

Sesungguhnya Lawammah ini bolehlah diibaratkan seperti lampu isyarat pada dirinya. Bagi mereka yang mempunyai Lawammah (isyarat larangan) dan mereka pula mematuhinya dengan penuh rasa tanggungjawab, maka mereka akan terselamat dari bahaya yang datang dari gejala-gejala nafsu Amarah yang masih berdaki laput di dalam jiwanya.
Sebaliknya jika seseorang itu yang telah meningkat ke martabat nafsu Lawamah tetapi tidak mematuhi isyarat larangan Lawamah, maka lama-kelamaan isyarat tersebut akan padam dan akan kembali lah mereka kepada nafsu Amarahnya.

Zikir mereka pada martabat nafsu Lawammah biasanya masih melekat di bibir tetapi kadang-kadang mulai telah menyerap masuk ke dalam hatinya dan keadaan tersebut tidak tetap. Maka haruslah seseorang itu meneruskan zikirnya sebagaimana yang dipetuakan oleh gurunya dengan tabah.
Mereka pada martabat ini masih lagi bergelumang dengan daki sifat-sifat Mazmumah tetapi ianya mulai menurun ke satu tahap minima. Sifat-sifat seperti gelojoh, marah, lekas melenting, hasad dengki dan lain-lain sifat terkeji mulai mengurang hasil kepatuhannya terhadap isyarat Lawammah yang terbit dari sudut hatinya. Kekusutan fikirannya telah pun menurun dan mereka mulai merasa segan untuk melakukan sesuatu dari sifat Mazmumah malahan mereka sering menyesali di atas sikap-sikap zalim yang pernah dilakukan oleh mereka dahulu.

Seperti firman Allah di dalam Al-Quran :

“Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali dirinya sendiri”
(Surah Al-Qiyaamah – Ayat 2)

Maka dengan ketekunan mematuhi isyarat serta kuat pula berzikir maka tingkatan nafsu mereka akan meningkat ke martabat nafsu ketiga yang dinamakan Nafsu Mulhamah.
Pada peringkat nafsu Lawamah seseorang itu telahpun dapat menerima ilmu Ghaib melalui Laduni pada peringkat NUR atau mimpi di dalam tidurnya dan kadang-kadang pula dapat menerima ilmu Laduni di peringkat tajalli. Oleh yang demikian maka seseorang itu haruslah pula berusaha dengan tekun dan sabar mengikuti petua-petua gurunya dan jangan sekali leka, semoga peningkatan martabat nafsunya akan tecapai.

3. NAFSU MULHAMAH.

Setelah seseorang itu berjaya mengikuti petua-petua daripada gurunya dan menerima teguran isyarat Lawammah dengan patuhnya, maka seseorang itu akan tercapai tahap nafsu yang lebih tinggi dan mulia martabatnya daripada nafsu Amarah dan nafsu Lawamah.

Adapun yang dimaksudkan dengan nafsu tersebut adalah nafsu Mulhamah. Pada peringkat nafsu ini seseorang itu telahpun dapat menyingkir sebahagian besar daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah swt. Jiwa mereka pada masa ini telah pun mulai berkembang sifat-sifat tenang, lapang dadanya dan mereka telah pun dapat pengajaran ilmu ghaib melalui jalan Laduni, diperingkat Nur dan Tajalli daripada Tuhannya. Tetapi manusia diperingkat ini masih wujud lagi terkadang-kadang siat-sifat Mazmumah yang dikeji oleh Allah swt. Jiwa mereka kadang-kadang tenang dan ada masanya fikirannya gelabah, gelisah dan sebagainya. Pendek kata sifat-sifat Mazmumah itu masih lagi melanda jiwa mereka.

Zikir mereka di peringkat ini telah pun mulai melekat di hati dan bukan lagi melewa-lewa di lidah sahaja. Walaubagaimanapun tidak lah bermakna yang zikirnya di peringkat ini 100% telah tetap di hati mereka. 

4. NAFSU MUTMAINNAH

Sesungguhnya martabat nafsu mutmainnah adalah martabat nafsu yang pertama benar-benar diredhai Allah SWT yang layak untuk memasuki syurga Allah SWT. Hakikat ini telah ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:

“Wahai orang yang bernafsu mutmainnah, pulanglah ke pangkuan Tuhanmu dalam keadaan redha meredhai oleh Nya dan masuklah ke dalam golongan hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Fajr: 27- 30).

Mereka yang berada di tahap ini akan merasi ketenangan dan kelapangan jiwa dan ia bukanlah satu ketenagan yang dibuat-buat. Ketenangan yang dilaluinya adalah terbit dari keimanan dan tauhidnya yang sejati. Malah bagi orang mutmainnah mereka tidak tahu atau tidak mengerti lagi apakah yang dikatakan kesenangan dan kesusahan, bagi mereka sama saja.

Bagi mereka yang telah mencapai mutmainnah maka tertanamlah di jiwa mereka amat subur sekali sifat-sifat mahmudah yang terpuji dan hilanglah sifat-sifat mazmumah yang dikeji. Sesungguhnya perasaan dengki, angkuh, sombong, tamak haloba dan lain-lain sifat yang dicela oleh Allah SWT tidak lagi tumbuh dan menyerapi di jiwa mereka mahupun di dalam kehidupan harian mereka.

“Orang-orang yang apabila ditimpa dengan suatu musibah mereka berkata (berpegang dengan sebenar-benarnya): Inna lillahi wainna ilaihi raji'un ” .[maknanya: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.] (Al-Baqarah: 156)

Mereka yang berada di tahap nafsu mutmainnah tidak lagi mempunyai perasaan khuatir terhadap sesuatu yang menimpa mereka. Malahan mereka sentiasa berada di dalam kegembiraan walaupun ketika itu mereka didatangi sesuatu musibah.

”Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka itu bersedih hati, iaitu orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan dunia dan akhirat” (Yunus: 62 – 64).

“Ada muka (manusia) pada hari itu yang berseri-seri, tertawa dan gembira” (‘Abasa: 38 – 39).

Sesungguhnya pada peringkat mutmainnah ini, kesucian jiwa seseorang itu bolehlah disifatkan telah mencapai kesucian para solehin iaitu suatu tahap kesucian yang boleh dinilai sama dengan kesucian seorang anak kecil yang baru dilahirkan dan kesucian jiwa orang-orang mutmainnah juga bolehlah digolongkan secara hakikinya sebagai kaum yang memiliki iman dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Martabat haruslah dicapai oleh setiap orang yang menuntut keredhaan di sisi Allah SWT. Sesungguhnya inilah sebenarnya yang diseru oleh Allah menerusi firmanNya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga menjadi tempat tinggalnya” (Al-Kahfi: 107).

Perlu ditegaskan disini bahawasanya di peringkat mutmainnah ini, sifat-sifat dan keinginan yang sebenar dalam melakukan amal ibadat kepada Allah SWT sudah menjadi keinginan semulajadi. Mereka inilah yang dapat menepati saranan Allah SWT dalam firmannya:

“Orang-orang yang berzikir kepada Allah SWT ketika berdiri, duduk dan waktu berbaring; dan .......................” (Ali ‘Imran: 191).

Pujian dirinya kepada Allah SWT bukan sahaja melekat di lidah, akan tetapi ingatannya itu telah dituruti oleh seluruh anggota tubuhnya. Zikirnya tetap dan bersemarak di hati serta diingatannya kepada Tuhannya berlangsung setiap masa dan ketika. Diperingkat inilah mereka telah berjaya mendapat ‘nur qalbun’ yang memancar dari bahagian bahagian bawah hati sanubari yang dipancarkan oleh lampu makrifatnya. Ketulan darah ghaib kotor lagi hitam yang menutupi pancaran nur qalbun dari lampu makrifat telah dapat disucikan menerusi amalan zikir yang selama ini diamalkannya.

Dengan amalan zikir yang dilakukannya, maka tercapailah seseorang itu ke tahap martabat kewalian yang disifatkan oleh para arifinbillah sebagai “makam wali kecil”. Secara yang lebih jelas lagi dapatlah diterangkan bahawasanya bila seseorang itu telah menduduki mutmainnah, kebaikan perangai, keelokan tingkah lakunya ketara sekali, persoalan maksiat tidak lagi timbul di hati mereka apatah lagi untuk mereka melakukannya. Hatinya sentiasa malu dengan Allah SWT untuk melakukan sebarang perbuatan keji.

“Allah pembimbing bagi mereka yang beriman yang menukarkan mereka dari kegelapan kepada petunjuk................” (Al-Baqarah: 257).

Orang yang berada di peringkat nafsu mutmainnah akan terselamat dari godaan syaitan kerana ia mendapat pertolongan dan bimbingan Allah SWT di dalam hidupnya. Sesungguhnya di peringkat inilah orang-orang mutmainnah mempunyaiu sifat-sifat yang boleh digelar sebagai “keramat”. Setiap pertuturannya tidak lagi sembarangan sesedap mulut hendak berkata. Ia juga akan mendapat bisikan hatinya yang suci. Malah sebarang geraklakunya tidak lagi sembrono.

Dalam persoalan penerokaan alam, orang mutmainnah bukan sahaja dapat menguasai ilmu qalam, akan tetapi mereka telahpun dapatmenguasai cara penerimaan ailmu Allah secara laduni di peringkat nur, tajalli, sir dan juga sirusir iaitu lebih tinggi daripada pencapaiannya di zaman mulhamah dahulu. Pembelajaran ilmu laduni yang diterimanya ilah cara ilmu Allah menerusi gabungan telinga batin dan mata basir dan ia dapat melihat sesuatu yang ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan mendengar sesuatu yang ghaib yang tidak dapat didengar oleh telinga biasa. 
Keyakinan mereka terhadap Allah dan berita-berita ghaib yang ditemuinya bukan sahaja dapat diyakininya pada tahap ilmul-yakin, malahan telah dapat berpegang pada tahap ainul-yakin dan haqqul-yakin. Sesungguhnya keyakinan mereka telahpun dapat menduduki apa yang disifatkan oleh Allah menerusi firmanNya:

”Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu keyakinan” (Al-Hijr: 99).

Perlu diingatkan, mereka yang berada pada nafsu ini akan mengalami suatu yang bernama ’fana’. Diperingkat ini biasanya mereka mengalami fana qalbi iaitu lebih merupakan penafian diri ataupun menafikan maujud dirinya dan diisbatkan kepada wujudnya Allah SWT semata-mata.

”Semua yang ada adalah fana (tiada wujud hakikinya). Dan yang baqa itu adalah wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan” (Ar-Rahman: 26-27).

Dengan demikian lahirlah perasaan gelora cinta semacam kekasih yang jauh menjelma di hadapan mata, namun begitu peringkat fana qalbi keadaan sebegini tidaklah kekal dan hal yang berlaku lebih bersifat sementara.

Namun mereka mestilah berusaha lagi, beramal dengan petua yang diberi oleh gurunya sehingga tercapailah pula martabat nafsu yang lebih mulia iaitu martabat nafsu Radhiah.
 

No comments:

Post a Comment