15 March 2013

Anak Panah Beracun


share dari link fb ~Mohamed Ibrahim Maricar


Anak Panah Beracun 

Sedar ataupun tidak, panahan beracun yang dibidik sang Iblis menghunjam tepat mengenai sepasang mata yang memandang sesuatu yang diharamkan Allah.
Contohnya: Saat seorang melihat dan meratah aurat wanita yang terdedah di depan matanya termasuklah di dada akhbar, tv atau internet, maka pandangan matanya kala itu sebenarnya telahpun terkena bidikan panah beracun sang Iblis.

Sabda Nabi SAW: “Pandangan mata itu adalah anak panah daripada panah-panah Iblis. Maka barangsiapa meninggalkannya (mengelakkannya daripada melihat wanita) kerana takut kepada-Ku, nescaya Aku (Allah) ganti dengan iman yang dirasakan lazat-manisnya dalam hatinya.” (Riwayat Thabrani dan Hakim daripada Ibnu Mas’ud.)

BAGAI KUBU SANG IBLIS

Dari arah mana iblis membidik panah beracunnya? Ketahuilah, bahawa objek ‘terdedah’ yang ‘HARAM’ dipandang seseorang itu bagaikan (umpama) kubu sang Iblis untuk melepaskan bidikan panah racunnya yang berbisa itu. Aduh, satu pandangan ke arah yang haram mengundang satu anak panah yang beracun terpacak menjunam ke sepasang mata kita.
Yang selamat, yang tidak terkena panahan beracun Iblis itu adalah mata sekelian hamba yang mukminin. Hamba yang tunduk mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Hamba yang takut dituangkan cairan panas neraka ke dalam matanya. Hamba yang sedar bahawa mata adalah amanah Allah SWT ke atas dirinya.

Firman Allah SWT:
Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”.
(QS. An-Nur :30)

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.
(QS. An-Nur :31)

KESAN RACUN

Sebagaimana yang kita tahu, yang dinamakan racun itu ada kesan dan pengaruhnya bila terkena pada diri seseorang. Begitulah jadinya apabila panahan beracun Iblis telah mengenai mata seseorang. Kesannya berpanjangan sekalipun ‘objek’ yang dipandang telah berlalu pergi. Benarlah kata-kata: “Dari mata, turun ke hati.” Racun yang memenuhi mata, sedikit demi sedikit, mula merembes dan merebak ke ulu hati.
Aduhh…,Sekalipun anak panah yang menusuk ‘mata’ telah pun dicabut dan dibuang jauh-jauh, namun kesan racun yang berbisa terus tersebar ke seluruh tubuh dan ke segala urat sendi.
Itulah matlamat sebenar syaitan. Pandangan mata (anak panah) itu hanyalah utusannya, namun racun berbisa yang ada pada anak panah (kesan pandangan mata) itulah tujuan terbesarnya. Akibat pandangan (panahan berbisa) itu, fikiran mulalah bercelaru, tidak keruan, jiwa mula menggelisah, menyemai benih berahi dan mengaktifkan nafsu serakahnya.
Kesan racun panahan Iblis ini akan lebih cepat berkesan bilamana luntur rasa takut kepada Allah dan bilamana titik-titik hitam semakin menebal di dalam hati.

TARGET JANGKA PANJANG IBLIS
Seandainya tidak ‘ditawar’ racun yang bersebar dari panahan Iblis tadi dengan kadar segera, ia akan membuatkan seseorang semakin berani melanggar segala yang dilarang Allah, semakin berkelakuan tidak senonoh, semakin hanyut, kecanduan, senang hati dan berbangga dengan kemaksiatan yang dilakukannya.
Objek yang dijadikan syaitan sebagai tempat melepaskan panahan beracunnya sudah tentulah kaum wanita. Namun wanita yang bagaimana? Itulah wanita-wanita yang tidak beriman kepada Allah dan hari Akhirat, wanita-wanita yang tidak mensyukuri kemuliaan dirinya, wanita-wanita KASIYAT (disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ‘ariyat - berpakaian namun masih bertelanjang), wanita-wanita yang hilang maruahnya dan hilang sifat malunya.
Wanita-wanita yang beriman, Insya Allah sangat sedar akan hal ini. Mereka tahu, andai tersilap langkah, syaitan akan menjadikan dirinya senjata yang paling efektif dalam kerangka memerangkap dan memusnahkan iman serta agama mereka yang bergelar kaum Adam maupun mereka bergelar Hawa juga.

Sayyidatuna Aisyah RA ketika menghuraikan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم menyatakan bahawa tiada fitnah yang paling besar melainkan fitnah wanita kepada lelaki.

Demikian juga, fitnah pertama yang melanda kaum Bani Israel suatu masa dulu juga bersumber dari wanita.
Catatan ini usah ditanggap dan dihadam secara emosi atau melulu, sebaliknya ditangani penuh insaf dan sedar bahawa ia merupakan ingatan-ingatan lampau yang telah disebar dan sampaikan oleh pemangku risalah, Sayyiduna Muhammad SAW.
Allah memerintahkan kita mengekang dan mendidik nafsu sebaliknya syaitan mahu memperkudakannya supaya anak Adam jadi terkutuk dan tercela hina bersamanya di dalam kawah neraka. Panahan beracun yang dibidik syaitan tidak lain supaya nafsu serakah (seks) manusia jadi membuak-buak kehausan, jadi liar dan buas tidak terarah dan akhirnya dilampiskan secara keji dan dibenci Allah SWT. Itulah perbuatan (dosa) zina yang merupakan seburuk-buruk jalan yang diredah manusia.

Bila manusia menuruti nafsunya, maka nafsunyalah yang menjadi tuhannya kala itu. Maka, ber’maharajalela’lah nafsu di jagat raya ini. Lihatlah, fitrah manusia jadi kacau bilau. Aurat semakin terbuka, terlondeh sana-sini. Sekolah menjadi ‘port’ aktiviti bercouple di kalangan para pelajarnya. Agensi perlacuran atau ‘bisnes tubuh’ sangat laris. Sosok ‘kemungkaran’ telah dipakaikan baju kemuliaan. Aktiviti perzinaan menjadi ketagihan. Harga diri tidak menjadi penting lagi. Perkahwinan sejenis diberi hak, laluan dan keizinan. Sifat malu dan sopan santun menyapu bumi manakala cerita dalam kelambu (yang diharamkan Allah dari disebarkan) dah menjadi perkara biasa bahkan menjadi bahan utama untuk melariskan web, buku dan akhbar.
Ya Allah selamatkanlah kami, iman kami, agama kami, pandangan mata kami, selamatkanlah isteri, anak-anak, keturunan dan zuriat kami di zaman mana kegelapan, fitnah dan kefasadan jadi bertimpa-timpa.

Rujukan: Safaqat Ar Rabihah karya Dr Khalid Abu Syadi.

No comments:

Post a Comment