09 December 2013

Peperangan Ghabah.

Sahabat, pernah dengar tak Perang Ghabah?

Tak eh? Saya pun tak pernah dengar jugak  Ni baru terbaca dalam buku Sirah. So saya mahu bercerita dengan anda. Lama sudah saya tidak bercerita, kan .
------------------------------------------------------------

Peperangan Ghabah.
=================

Ghabah dalam bahasa arab maknanya hutan. So saya pinjam foto hutan yang indah pemandangannya -subhana Allah- untuk dijadikan keyword saya. Walaupun foto ni foto hiasan, tapi sampai maksudnya sebagai "hutan" .

Ok, saya teruskan penceritaan. Serius-serius .

Peperangan ini berlaku selepas peperangan Khandaq, perang Bani Quraizah dll. Tahun ke 5H. Ia juga dikenali sebagai peperangan Zu Qird.

Dinamakan dengan Ghabah kerana musuh menyerang kawasan pertanian & banyak terdapat pokok di situ. Ia diserang oleh bangsa Ghatafan. Bangsa ini tamak dengan hasil pertanian Mekah, lantas mereka menyerang kawasan ini. Mereka membunuh seorang petani di situ iaitu anak kepada Abu Zar. Mereka juga menawan seorang perempuan bersama anaknya di situ serta merompak sebanyak mungkin harta yang mereka mampu ambil & melarikan diri. 

Para petani berlari ke Madinah melaporkan kejadian ini. Pahlawan pertama yang ditemui oleh mereka ialah Salamah bin Akwa'.

Anda tahu tak apa kelebihan Salamah ini? 
Tidak tahu? Ni yang saya nak beritahu .

Masya Allah tabarakaAllah, beliau boleh berlari lebih pantas dari kuda. Seorang sahabat yang paling handal bertempur di medan perang tanpa tunggangan. Beliau mampu memintas larian kuda!!! Subhana Allah.

Apabila beliau dimaklumkan hal ini, beliau terus menjerit memberitahu orang-orang Madinah sementara beliau BERLARI mengejar perompak-perompak Ghatafan itu tadi. Akhirnya beliau berjaya mendapatkan mereka & mula memanah.

Para petani Mekah tadi terus bertemu Baginda صلى الله عليه وسلم, lantas Baginda صلى الله عليه وسلم menyiapkan satu pasukan berkuda di bawah pimpinan Saad bin Zaid. Baginda صلى الله عليه وسلم memerintahkan pasukan ini pergi terlebih dahulu kemudian baru akan disusuli oleh Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri kerana perlu membuat persediaan menuju ke tempat suku Ghatafan yang merupakan suku Arab paling besar.

Berlaku pertempuran di pertengahan jalan sebelum tentera Ghatafan sampai ke kawasan mereka. Beberapa orang musuh terbunuh. Musuh terus melarikan diri & bersegera untuk sampai ke perkampungan mereka. Salamah meminta kepada Baginda صلى الله عليه وسلم menghantar bersamanya 100 orang tentera untuk mengejar semua tentera musuh itu.

Namun Baginda صلى الله عليه وسلم berkata: "Wahai Salamah, mereka sudah sampai ke tempat mereka. Tidak mungkin kita dapat mengejar mereka."

Tentera Islam yang keluar ketika itu hanya 700 orang, keluar dalam keadaan tergesa-gesa & tidak bersedia menghadapi peperangan. Manakala bilangan musuh 10 ribu orang & mereka bersiap sedia berlawan. Akhirnya Baginda صلى الله عليه وسلم mengarahkan para sahabat pulang terlebih dahulu ke Madinah.

Habis kisah ini. Ekoran dari kisah ini, ada kisah seorang perempuan yang diculik bersama anaknya tadi. Ingat tak?

Haaa, dia berjaya melarikan diri dengan unta kepunyaan Baginda صلى الله عليه وسلم yang dicuri oleh Bani Ghatafan itu. Jarak dari Ghatafan ke Madinah jauh & dia tidak tahu jalan pulang. Akhirnya wanita itu berdoa kepada Allah & bernazar.

Tahu tak apa yang dinazarkannya? Kena baca sampai habis .

Unta itu tanpa dipandu, telah membawanya sampai ke Madinah dengan selamat. Dia bersyukur kerana Allah telah selamatkannya & terus bertemu Baginda صلى الله عليه وسلم menceritakan kisahnya.

Wanita itu: "Wahai Muhammad, aku telah bernazar jika aku selamat aku akan korbankan unta ini."

Baginda صلى الله عليه وسلم: "Alangkah buruknya balasanmu kepadanya. Dia menyelamatkanmu & kamu pula mahu menyembelihnya! Tambahan pula unta ini bukan milikmu. Bagaimana kamu boleh bernazar dengan sesuatu yang bukan milikmu?!"

Kemudian Baginda صلى الله عليه وسلم memberikan panduan kepada umat Islam bahawa tidak sah nazar seseorang ke atas apa yang bukan miliknya.

Begitulah ceritanya .
##############

Antara pengajaran dari kisah di atas;

1- Perlu ada persediaan sebelum bertindak. Tidak cukup hanya ada semangat semata.

2- Kelebihan seseorang yang lain dari kebiasaan itu harus berlaku. Ia anugerah penuh keajaiban seperti yang dimiliki oleh Salamah.

3- Berikan balasan yang baik kepada yang berbudi walaupun ia hanya seekor binatang.

4- Harta orang tetap harta orang, bukan harta kita. So, pandai-pandailah menggunakannya.

Jangan pula guna sifir hidup songsang; "harta orang adalah harta aku juga, manakala harta aku adalah harta aku sahaja." Sila sekeh kepala sendiri kalau macam tu .

5- Dengan ilmu, baru kita tahu sejauh mana kita dibenarkan bernazar.

Jangan ada selepas ini bernazar "jika aku berjaya, aku akan jual kereta jiran sebelah". Haha, banyak shantek. Jika mahu masuk penjara, cubalah .

No comments:

Post a Comment