13 August 2015

Menjaga Hak Allah

share dari link fb ~ Raudhatul Muhibbin

Menjaga Hak Allah; "Saidina Abdullah bin Abbas r.a, ialah sepupu Nabi Muhammad ﷺ. Atau anak kepada bapa saudaranya iaitu Abbas. Umur Abbas dan Rasulullah ﷺ tidak jauh bezanya. Walaupun pangkatnya ialah bapa saudara kepada Nabi. Ayah Rasulullah ﷺ, iaitu Abdullah merupakan abang kepada Abbas."

"Saidina Abbas mempunyai beberapa orang anak tetapi yang masyur dari segi keilmuan ialah Abdullah ibnu Abbas. Abdullah digelar “Habrul Ummah” yang membawa maksud seorang yang sangat luas ilmunya. Umurnya ketika Nabi ﷺ wafat baru tiga belas tahun. Beliau banyak menemani Nabi dalam banyak hal."

"Hubungannya menjadi lebih rapat dengan Nabi ﷺ apabila ibu saudara Abdullah bin Abbas, yang namanya Maimunah diperisterikan Nabi rasulullah ﷺ. Maka Abdullah bin Abbas mendapat peluang belajar dengan Nabi bukan sahaja ketika di luar rumah, bahkan di dalam rumah juga. Bila giliran Rasulullah ﷺ tidur di rumah Maimunah, Abdullah akan ikut sama dengan tujuan melihat apa yang dilakukan Nabi ketika di rumah. Namun, pastilah dalam keadaan penuh adab sehingga tidak menganggu kepada rumahtangga Rasulullah ﷺ dan ibu saudaranya."

"Oleh kerana kesungguhan Saidina Abdullah mencari ilmu, Rasulullah ﷺ sering mengambil peluang untuk mengajar setiap kali bersamanya, hatta ketika berada di atas tunggangan unta atau keldai sekalipun. Nabi akan menyuruh Abdullah naik di belakangnya. Oleh itu ada beberapa hadis riwayat Saidina Abdullah yang berbunyi, “Saya berada di belakang haiwan tunggangan Nabi , lalu rasulullah ﷺ bersabda; “Ya Ghulam, yang bermaksud Wahai anak kecil.”. Panggilan ‘Ghulam’ ini merupakan satu ‘trick’ Nabi untuk menarik hati Abdullah untuk mendengar apa yang ingin disampaikan."

"Kemudian Rasulullah ﷺ akan menyambung, “Saya ingin mengajarkan kamu beberapa kalimat. Yang pertama - Jagalah Allah, Allah akan jaga kamu”. Ketika itu, Abdullah masih belum baligh lagi tetapi Nabi sudah mengajarnya agar menjaga hak-hak Allah سبحانه وتعالى."

"Apabila kita meminta Allah menjaga kita, maksudnya kita meminta Allah menjaga kita daripada segala macam bahaya, memohon nikmat dan bermacam-macam lagi. Kita menjaga Allah سبحانه وتعالى pula bermaksud kita menjaga segala hak-hak Allah agar sebagai Tuhan."

"Sambungan hadis; "Jagalah Allah, kamu akan dapati Allah berada di hadapan kamu. "Perkataan ‘berada di hadapan kamu’ maksudnya, jika kita dalam kesusahan, orang pertama yang akan membela, atau menghiburkan atau meringankan beban yang dihadapi kita ialah orang yang paling sayangkan kita, orang yang paling ingin memberi yang terbaik kepada kita."

"Contohnya jika anak dalam kesusahan, maka ibu bapa merupakan orang pertama yang akan membantu mereka. Begitulah jika kita menjaga hak Allah, maka apabila menghadapi kesulitan, maka Allah سبحانه وتعالى yang paling dahulu akan membantu kita."

"Sambungan hadis itu lagi; “Dan ketahuilah apa yang ditulis Allah سبحانه وتعالى takkan berubah walaupun ada orang ingin mendatangkan manfaat kepada kamu. Orang itu takkan dapat mendatangkan manfaat kecuali apa yang Allah tentukan. Jika semua orang berpakat untuk mendatangkan mudharat kepada kamu, takkan dapat mendatangkan mudharat kecuali apa yang ditulis Allah سبحانه وتعالى."

"Isi nasihat Rasulullah ﷺ ialah untuk mengajar Saidina Abdullah agar mempunyai sifat muroqabah iaitu sifat menjaga hak Allah. Nabi mengajarkan ini ketika Abbas masih kecil, belum baligh dan baru berumur lingkungan sebelas tahun. Apa maknanya? Kita juga mesti mengajar anak-anak kita agar kenal kepada Allah سبحانه وتعالى ketika mereka masih kecil lagi, sebelum dikenalkan dengan benda-benda lain."

"Apa yang masuk ke dalam minda anak kita, maka itulah yang akan lekat. Oleh itu, jika kita selalu ulang sebut tentang Allah سبحانه وتعالى kepada anak-anak kita, maka itulah yang akan melekat pada hati mereka. Tambahan pula dalam zaman moden hari ini, anak-anak suka bertanya. Jadi, sebagai ibu bapa, kita kena bersedia dengan jawapan yang sesuai dengan jiwa anak-anak yang masih kecil. Jangan pula disamakan penjelasan kepada persolan mereka seperti penjelasan kepada orang dewasa."

"Suatu ketika, Saidina Abdullah mendengar yang Rasulullah ﷺ berada di rumah Maimunah, lalu dia pun pergi bermalam di rumah Maimunah. Dia meletak satu bekas wudhuk di luar bilik Nabi sebagai tanda khidmatnya untuk memudahkan Rasulullah ﷺ bangun dan bersedia untuk solat tahajjud."

"Bagi Rasulullah ﷺ, solat tahajjud, solat Dhuha adalah wajib, tapi tidak kepada kita. Ada benda lain yang Nabi boleh buat kita tak boleh - contohnya Nabi boleh berkahwin lebih daripada empat, tetapi kita tidak boleh. Apabila terlihat bekas itu, Rasulullah ﷺ pun bertanya siapa yang meletakannya."

"Setelah diberitahu bahawa Saidina Abdullah Ibnu Abbas yang meletakkannya, Nabi pun mendoakannya; “Allahumma faqqihhu fiddin wa ‘allimhu ta’wil” yang bermaksud; “Ya Allah, dalamkanlah pengetahuannya dalam agama dan ajarkan dia ta’wil Qur’an”. Ilmu ta'wil ialah ilmu tafsir Al-Quran. Dengan keberkatan doa Rasulullah ﷺ dan kesungguhan yang ada pada dirinya itu, jadilah dia “Habrul Ummah” yang bermaksud orang yang luas ilmunya."

"Umurnya ketika Nabi wafat baru tiga belas tahun. Namun, dia terus mencari ilmu daripada sahabat-sahabat Nabi ﷺ pula. Antara gurunya ialah Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. Walaupun telah berguru dengan Rasulullah ﷺ, beliau masih mencari ilmu daripada sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Rumahnya pernah menjadi seperti sekolah madrasah di mana ramai orang datang untuk belajar, dan ditetapkan waktu-waktu tertentu untuk belajar perkara tertentu seperti ilmu Al-Quran, imu hadis, ilmu feqah dan lain-lain ilmu."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

blog saya satu lagi boleh dilawati :  http://jasminshahab205.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment