14 May 2013

Memiliki Hati Yang Bersih



Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh

Memiliki Hati Yang Bersih 

“Sekarang ini di tengah-tengah kalian ada seorang calon penghuni syurga.”

Begitulah kesaksian dan jaminan dari Rasulullah SAW saat duduk di tengah halaqah bersama para sahabat RA. Para sahabat menoleh ke kanan dan ki kiri. Siapakah dia sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah SAW.?

Tiba-tiba semua mata tertumpu kepada Sa’ad bin Abu Waqqash. Dialah salah seorang sahabat yang terawal beriman dengan Allah SAW dan Rasulullah SAW saat jumlah orang yang menerima Islam masih boleh dihitung dengan jari. Beliau sangat cintakan jihad di jalan Allah SWT dengan harta dan jiwanya sampai mati.

Beliau adalah orang yang pertama dari kaum muslimin yang membidikkan anak panahnya di jalan Allah SWT. Ianya dipersaksikan oleh Rasulullah SAW sehingga mendapat doa khusus dari Baginda SAW, tepat sasaran panahnya, mustajab pula setiap doa yang dipanjatkannya. Rasulullah SAW bersabda memberikan semangat kepada Sa’ad “ Teruskan membidik Sa’ad! Ayah dan Ibuku menjadi tebusanmu.”

Sa’at busur panah Sa’ad patah, Rasulullah SAW segeri memberikan yang lainnya. Bahkan baginda brdoa untuk Sa’ad, “Ya Allah, tepatkanlah bidikannya dan kabulkan doanya.”

Apa rahsianya kehebatan sang penghuni syurga ini? Bagaimana kita boleh mengambil ibrah dan pengalaman Sa’ad bin Abu Waqqash membina peribadi yang luar dari biasa ini?

Sa’ad bin Abu Waqqash memiliki anugerah besar ini setelah beliau berjuang keras melawan nafsu, sehingga beliau memiliki jiwa yang jernih, iman yang sejati, keikhlasan yang mendalam dan hati yang bersih yang tidak dinodai oleh sifat hasad, iri dan dengki kepada sesiapapun.

Ingin jadi penghuni syurga? Siapa mahu menyertai Sa’ad bin Abu Waqqash? Bersihkan hati dari mengikuti telunjuk hawa nafsu dan menangkan diri dengan kekuatan ruhiyah serta bebaskan diri dari penyakit-penyakit hati; sombong, iri, dengki, hasad, malas, bertangguh, suka kepada maksiat dan seangkatan dengannya.

“Dan sesiapa yang mengerjakan amalan-amalan yang soleh dari lelaki atau perempuan, sedangkan ia seorang yang beriman, maka mereka akan masuk ke dalam Syurga dan mereka tidak akan dikurangi sedikitpun (pahala amalan mereka). (An Nisaa’: 124)

Perkara hati bukan merupakan perkara yang remeh, oleh kerana itu jika kita menaruh perhatian untuk memperbaikinya, maka impaknya hidup kita menjadi lebih bahagia, tenang dan umat ini akan menjadi lebih baik. Kita harus menyebutkan betapa pentingnya memelihara hati dan jiwa kita, sehingga masing-masing dari kita meletakkan hati di hadapannya dan bekerja siang dan malam untuk memperbaikinya.

“Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila segumpal daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (HR Bukhari dan Muslim”)

Mempertingkatkan keimanan
Jalan penyelesaian terbaik untuk kita menjaga hati kita adalah dengan mempertingkatkan keimanan dan penghambaan kita kepada Allah SWT. Menurut mujahid Syeikh Dr. Abdullah Nasih Ulwan, mempertingkatkan keimanan adalah dengan seorang mukmin itu meyakini bahawa Allah sentiasa bersamanya, mendengar dan melihat perlakuannya, mengetahui perkara yang nyata dan rahsia, mengetahui pandangan mata yang khianat dan perkara yang tersembunyi di dalam dada... Dia sentiasa ingat
firman Allah:

“Tidak berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia-lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai melainkan Dia bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. (Al Mujadalah: 7)

Dengan keyakinan dan perasaan ini, seorang mukmin akan bebas daripada kongkongan hawa nafsu, dorongan nafsu ammarah, tunggangan syaitan dan fitnah harta serta wanita. Dia akan memperlengkapkan dirinya dengan bermuraqabah, takutkan Allah dan merasai-Nya sentiasa bersamanya ketika dia keseorangan dan juga ketika bersama orang ramai. Semua ini mendorong mukmin tersebut melakukan amal soleh dengan penuh kesungguhan, amanah dan ikhlas... Bahkan dia dapat menepati kata-kata penyair Islam:

Apabila engkau bersendirian sedetik, jangan engkau kata,
aku telah bersendirian, bahkan katakanlah aku diperhati,
jangan engkau menyangka Allah lalai walaupun sedetik,
jangan sangka ada sesuatu tersembunyi,tidak diketahuiNya.

Manfaatkan Masa Sebagai Perawat Hati
Sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana yang telah diriwayatka oleh Muslim:

“Bersungguhlah melakukan apa yang mendatangkan faedah kepada engkau, mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa lemah.”

Para pakar jiwa dan pendidikan telah mengakui:

Apabila seorang pemuda bersendirian di waktu lapangnya... ia akan didatangi oleh berbagai khayalan, gelora hawa nafsu dan memikirkan tentang seks yang memberangsangkan. Nafsu ammarahnya akan bergelora di hadapan khayalan dan tuntutan nafsu ini. Kadang-kadang dia terjatuh ke lembah yang dilarang oleh syara’ yang mendatangkan akibat yang buruk. Adalah lebih membahayakan lagi apabila dia mempunyai waktu lapang dan harta. Benarlah kata-kata penyair.:

Sesungguhnya pemuda,
waktu lapang dan faktor kesungguhan,
Adalah kemuncak kebinasaan bagi seseorang.

Tidak ragu lagi bahawa jalan penyelesaian untuk bebas daripada semua ini ialah dengan mengetahui bagaimana cara menggunakan waktunya dan memenuhi kekosongan yang ada. Alangkah banyaknya bidang boleh diceburi oleh pemuda untuk mengisi masa kehidupannya. Ianya boleh dipenuhi samada dengan bersukan yang boleh menguatkan tubuh badannya, bersiar-siar merehatkan jiwanya, membuat penyelidikan dan pembacaan yang boleh menambah pengetahuannya, membuat kerja tangan yang boleh memperkembangkan minatnya, menghadiri kelas-kelas pengajian agama yang boleh mengasuh akhlaknya, turut serta di dalam peraduan yang berbentuk ilmiah (kuiz) yang boleh melatih mentalnya, berlatih memanah dan cara-cara jihad yang lain yang boleh mempersiapkan dirinya dan lain-lain jalan penyelesaian yang boleh menjauhkannya daripada mengikut hati yang dikuasai hawa nafsu dan dorongan nafsu ammarah.

Ujian Surut dan Istiqamah
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita, khasnya buat para pemuda Islam sekalian untuk terus istiqamah tanpa jemu mendidik hati dan jiwa agar sentiasa termasuk dalam golongan yang bersama dengan Rasulullah SAW terutama pada saat jiwa kita diuji dengan kelemahan namun kita tetap istiqamah. Sabda Rasulullah SAW. ;

‘Bahawa setiap amalan itu ada puncak kesungguhan-nya, setiap puncak kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surut kepada yang lain, bererti telah binasalah dia.’

No comments:

Post a Comment