09 August 2012

~>>UNTUK PERKONGSIAN..SEMOGA DAPAT DIMANFAATKAN BERSAMA2<<~

share dari link sahabat fb --Wan Norhayati Wan Mahmood

Apabila Ramadhan sudah mula menghampiri 10 malam-malam terakhir, Tentu sekali umat Islam yang mukmin akan berlumba-lumba dan lebih tekun dan banyak beribadah demi mendapatkan hikmah LailatulQadar. Namun, bagi muslimat yang di datangi haid di akhir Ramadhan tentu tidak dapat lari dari merasa sedih, cemburu dan 'kerugian' yang besar kerana tidak dapat meningkatkan amal ibadah semasa 10 malam terakhir terutamanya Qiamulail untuk mengejar LailatulQadar. Namun, apakan daya. Ia taqdir ALLAH yang seseorang itu mesti redha. 


Sebenarnya, bagi wanita yang uzur kerana haid dan nifas, mereka masih mampu memperolehi Lailatul Qadar dengan melakukan ketaatan dan amalan juga beberapa ibadah yang boleh dilakukan sebagai alternatif kepada solat, puasa dan iktikaf di masjid yang dilarang mereka melakukannya ketika haid. 


1. Redha dengan ketentuan ALLAH 

Mempunyai perasaan redha terhadap ketentuan ALLAH adalah sesuatu yang sangat penting ada di dalam hati seseorang mukmin. Ia menandakan keimanan seseorang terhadap qadar dan qadha ALLAH. Sifat redha akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang dan bersangka baik dengan Tuhannya. Dan sifat redha ini adalah sifat yang mahmudah yang insyaALLAH besar pahalanya di sisi ALLAH. Bukan senang seseorang itu hendak redha. Justeru, redhalah. Ada ganjaran pahala buat orang-orang yang redha, insyaALLAH. Redha adalah tanda kehambaan hamba kepada Tuhannya. 

2. Bangun malam di 10 terakhir Ramadhan. 
Memang ibadah terbaik di waktu seperti malam adalah solat-solat sunnat. Namun, disebabkan oleh wanita-wanita haid tidak boleh bersolat, maka hendaklah dicari ibadah lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadah pada waktu malam tidak dibiarkan begitu sahaja. Contoh ibadah yang boleh dilakukan ialah: 

• Membaca ayat-ayat al-Quran dan terjemahannya tanpa memegang mushaf al-Quran. 
• Dzikrullah iaitu mengingati ALLAH samada melalui lidah, hati atau perbuatan. Banyak kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali seperti:
“SubhanAllah” (Maha Suci ALLAH) 
“Alhamdulillah” (Segala Puji Bagi ALLAH) 
“Allahu Akbar” (ALLAH Maha Besar) 
“La Ilaha illa ALLAH” (Tiada Tuhan selain ALLAH) 
“SubhanAllahi wabihamdih, SubhanAllahil`Azim” (Maha suci ALLAH dengan segala pujian kepadaNYA, Maha suci ALLAH Yang Maha Agung) 
“La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH) 
Dan lain-lain lagi. 
• Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar. Ucaplah “Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali. Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin. 
• Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Berdoa juga adalah ibadah. 
• Bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. 
• Muhasabah diri. 


• Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menimbulkan keinsafan dan peningkatan Iman serta makin dekat dengan ALLAH.  

Tidak ada sebab untuk seseorang meninggalkan ibadah berjaga malam walaupun sedang mengalami haid. Apatah lagi peluang menghidupkan malam pada 10 terakhir Ramadhan. Kerana di dalamnya kita sangat digalakkan untuk memburu Lailatul-Qadar. Oleh itu, janganlah ditinggal terus dari beribadah pada waktu malam walaupun anda sedang didatangi haid. 
3. Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan soleh.

• Menghadiri majlis-majlis ilmu. 

• Menjauhi perbuatan-perbuatan syubhah dan haram terutama yang melibatkan lidah. 

• Memberi nasihat, amar ma`ruf nahi mungkar. 


• Menulis di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali beragama. 

• Menyediakan juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga dan taulan yang berpuasa. InsyaALLAH, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu. 

• Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala. 
• Membantu orang yang kesusahan. 
• Menyebarluaskan salam.
• Dan banyak lagi tidak terkira. 
::~>>Wahai saudari2ku, dengan ini marilah kita teruskan ibadah kita walaupun didatangi haid. Semoga dengan info ini dapat menyedarkan kita. Jangan lagi kita mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadhan. Terbuanglah peluang begitu sahaja, malah ada yang tidur sahaja disebabkan oleh pada anggapan mereka bahawa mereka tidak boleh melakukan ibadah. 

::~>>ALLAH Maha Pemurah. Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hambaNYA. Dan pahala dariNYA memang DIA sediakan buat hamba-hambaNYA yang suka mencari keredhaanNYA. Konsep ibadah ini terlalu luas. Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh jadi ibadah? Selamat beribadah di 10 terakhir Ramadhan. Wallahualam..♥♥♥ (^_^)

No comments:

Post a Comment