Dipotong tangan kerana sedekah
سم الله الرحمن الرحيم
Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan
Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya
dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan
ikhlas kerana Allah S.W.T."
Setelah fakir miskin itu berkata
demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang
masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut
maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong
tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu
maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik
kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin
dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke
rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang
kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah
tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa
anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis
tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis
tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun
memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami
hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan
suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga
telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya
menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya
melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa
orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan
tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."
Setelah si suami
berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri,
walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba
terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu
wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti
dengan ikhlas kerana~Ku, maka tidak ada halangan bagi~Ku memberikan
kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar
suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia
mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun
makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita
sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia
telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati
tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa
menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan
barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi
kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia
telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W
yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah
seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan
seribu rahmat."
Wallahu'alam..
Janganlah kamu
memilih-milih dan sombong terhadap Allah SWT, kerana itu dapat
melemahkanmu. Janganlah kamu menyombongkan kemudahan, kekuatan, dan
kemudaanmu; agar Dia tidak menghancurkanmu dan menyeksamu, sesungguhnya
seksa~Nya amat pedih
~Syeikh Abdul Qadir al-Jailani~
No comments:
Post a Comment