25 July 2012

Puasa - Ia bukan sekadar tidak makan semata-mata



Assalamualaikum Warahmatullah Sahabat2ku yang kukasihi..
InsyaAllah, entri kali ini adalah berkisarkan tentang bulan Ramadhan yang mulia ini. Tapi sebelum itu, marilah kita sama-sama mengucapkan ‘alhamdulillah’ kehadrat Illahi kerana, kita masih bebas bernafas di bumi ciptaanNya ini untuk merasai kemanisan bulan Ramadhan pada tahun ini. Alhamdulillah.

Ramadhan adalah bulan yang mewajibkan seluruh umat Islam untuk berpuasa. Yakni, menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar sehingga terbenam matahari berserta dengan niat. Maksud puasa ini jelas mengatakan bahawa puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan, puasa itu melibatkan seluruh anggota dan perbuatan kita dalam kehidupan kita seharian. Kalau setakat bangun bersahur kemudian menahan lapar dan dahaga sehingga azan maghrib berkumandang, budak darjah satu pun mampu buat! Tak perlu minum ‘Ho Ho Ho Holick’ pun boleh.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : ”Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.” (Riwayat an-Nasaei).

Ramadhan itu sebenarnya bulan untuk mendidik jiwa kita. Mengajar untuk begaimana menundukkan nafsu. Agar iman sentiasa mengalahkan nafsu. Berperang melawan hawa nafsu pun salah satu cabang jihad. Ingat lagi kan apa yang ustaz dan ustazah ajar dalam pendidikan Islam masa zaman persekolahan dulu? Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya. ”

Secara ringkasnya, terdapat 6 langkah untuk mencapai kesempurnaan dalam berpuasa.

1. Mata : Hendaklah dijaga daripada melihat perkara-perkara maksiat.

2. Mulut : Hendaklah dijaga daripada mengeluarkan perkataan-perkataan maksiat seperti fitnah, mengumpat dan sebagainya.

3. Telinga : Hendaklah dijaga daripada mendengar perkataan-perkataan maksiat.

4. Perut : Hendaklah sentiasa diisi dengan makanan yang halal dan tidak berlebih-lebihan.

5. Tangan dan kaki : Hendaklah sentiasa dihindarkan dari melakukan dan menuju ke tempat-tempat maksiat.

6. Hati : Hendaklah sentiasa bermohon agar dikurniakan sifat sabar, taqwa dan redha.

Indahnya andai kita sama-sama dapat merasai kemanisan bulan ramadhan. Berlumba-lumba untuk berbuat amal di samping berlumba-lumba untuk cari tempat parking di bazar ramadhan. Hayati keindahan dan kemuliaan bulan Ramadhan ini dan hargai peluang yang Allah bagi kat kita. Mungkin ini Ramadhan terakhir buat kita. Tiada siapa yang tahu. Jadi, masih tidak terlambat bagi sesiapa yang masih sengal-sengal tulang untuk pergi berterawih di masjid, masih teragak-agak untuk bersedekah, dan masih berat dagu untuk mengalunkan ayat-ayat suci al-quran. Kita masih di permulaan Ramadhan. Ayuh, kita jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita mentarbiah diri kita. Kalau Ramadhan tahun-tahun yang lepas telah kita sia-sia kan, Ramadhan kali ini biarlah jadi Ramadhan yang terhebat untuk kita. Apa lagi, jom mentarbiah diri!

Wallahu’alam

No comments:

Post a Comment