07 January 2013

Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih.


Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih. Dia bertambah dekat kepada Tuhan dan semakin sedar nikmat itu kurniaan Ilahi yang perlu dipergunakan untuk kebaikan sesama manusia.
Lumrahnya, manusia menyedari nikmat kurniaan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang (dicabut oleh Tuhan). Jika matanya rosak sebelah, kaki patah atau tangan kudung, barulah dia merasa nikmatnya mempunyai dua biji mata, kaki dan tangan yang tidak cacat. Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit. Seseorang yang berkuasa atau berpangkat pula berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan. 

Syukur ialah mengerti bahawa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba adalah nikmat pemberian Allah. Tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila ia gembira wujudnya nikmat pada dirinya yang melorongkan jalan untuk beramal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya. 
Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil sahaja. Sesungguhnya, bersyukur kepada Allah wajib bagi setiap manusia. Firman Allah bermaksud: “Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh menyembah kepada-Nya.” (Surah An Naml: 144)

No comments:

Post a Comment