16 February 2013

KEHEBATAN AKHLAK RASULULLAH MENGAWAL KEMARAHAN YAHUDI PENGUTIP HUTANG


share dari link fb ~Kami Sayang Rasulullah S.A.W


KEHEBATAN AKHLAK RASULULLAH MENGAWAL KEMARAHAN YAHUDI PENGUTIP HUTANG

Suatu kisah ketika Rasulullah SAW sedang duduk ditengah-tengah para sahabat, tiba-tiba datang seorang rahib yahudi bernama Zaid bin Sa’nah. Kemudian dia menyambar kain Rasulullah SAW dan berkata dengan kasar; “Ya Muhammad! Bayarlah hutangmu. Kamu keturunan Bani Hasyim melambat-lambatkan pembayaran hutang.”

Sememangnya ketika itu Rasulullah SAW berhutang dengan yahudi tersebut. Tetapi Rasulullah mengerti bahawa masa yang dijanjikan untuk membayarnya belum sampai. Melihatkan keadaan sebegitu, Saidina Umar r.a lalu bangun dan menghunus pedangnya. “Wahai Rasulullah SAW, izinkan aku memenggal leher manusia yang kurang ajar ini.”

Namun, dengan penuh kelembutan dan ketenangan Rasulullah SAW bersabda; “Ya Umar, aku tidak disuruh berdakwah dengan cara yang kasar. Antara aku dan dia memang memerlukan kebijaksanaan daripadamu. Suruhlah dia menagih hutangnya dengan sopan dan ingatkanlah aku supaya aku dapat membayar hutangku dengan baik.”

Mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, orang yahudi itu pun berkata: “Demi yang mengutusmu dengan kebenaran, sebenarnya aku tidak akan datang untuk menagih hutang, tetapi aku datang untuk menguji akhlakmu. Aku mengerti masa untuk melunaskan hutang itu sebelum sampai waktunya. Akan tetapi aku telah membaca sifat-sifatmu dalam kitab Taurat. Semua sifat-sifatmu sungguh terpuji. Namun masih ada satu sifatmu yang belum aku ketahui iaitu tentang kebijaksanaanmu bertindak ketika waktu marah. Ternyata tindakan ceroboh yang dilakukan orang terhadapmu, engkau masih dapat mengawalnya dengan cara bijaksana.”

Ini merupakan satu hakikat yang aku saksikan sendiri, maka terimalah Islamku ya Rasulullah SAW. Kemudian orang yahudi itupun mengucap dengan mengakui Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Rasulullah SAW adalah pesuruh ALLAH.

Kemudian ia berkata lagi: “Wahai Rasulullah, adapun hutangmu, aku sedekahkan kepada fakir miskin dan kaum muslimin”

Demikianlah antara sebuah kisah kehebatan akhlak Rasulullah SAW dalam menghadapi marah. Manakala, hari ini dalam menguruskan kemarahan yang terjadi tanpa diminta, adalah menjadi tanggungjawab setiap insan dalam menghadapi situasi yang mudah mengundang marah, memerlukan tindakan pantas kepada memikirkan sabar.

Rasulullah bersabda bermaksud :

“Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah).” (Riwayat al-Tirmizi)
 

No comments:

Post a Comment