Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
:: Hindari Prasangka ::
Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri kita terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan bertaubat. Nabi Muhammad SAW bersabda :-
Ertinya : "Setiap anak Adam itu ada kesilapan (dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat"
(Riwayat At-Tirmidzi)
Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Kita sendiri tidak bebas darinya.
Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis maksudnya :
"Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk"
Lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"
Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfarlah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya"
(At-Tabrani: Dhaif )
Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya.
Allah SWT mengingatkan dalam firmanNya yang bermaksud:-
'Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." (al-Hujurat; 12)
Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :
"Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam"
(Tafsir Ar-Razi)
Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baiknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.
Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.
Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sahih berikut :-
`Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya bercukur lalu berkata :
"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah"
Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya orang yang paling takut kepada Allah."
Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata;
"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad)"
Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".
Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata sesuatu yang tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"
Baginda membalas :-
"Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka"
(Riwayat Al-Bukhari Muslim)
Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-
Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Sahih Muslim)
Sahabatfillahku,
Jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.
"Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. "(An-Nur: 12)
Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya...
No comments:
Post a Comment