18 February 2013

~ Insafnya Seorang Pemuda Disebabkan Seekor Katak ~


share dari link fb ~Syarifah Rokiah Al-Khred


~ Insafnya Seorang Pemuda Disebabkan Seekor Katak ~

Cerita kali ini mengisahkan bagaimana seorang hamba Allah yang menyatakan kekesalannya apabila ibadatnya serta doanya seolah-olah tidak dimakbulkan Allah S.W.T. Betapa rapuhnya iman dan keyakinan seorang manusia apabila semua kehendaknya tidak dipenuhi. Jom kita baca dan silalah ambil iktibar dan pengajaran daripada kisah ini ok!.

Kisah menceritakan tentang seorang lelaki yang pada suatu ketika telah keluar dari rumahnya bertujuan untuk mengabdikan dirinya kepada Allah. Lelaki tersebut telah pergi ke sebuah hutan yang sunyi kerana tidak mahu diganggu dan memudahkannya beribadat kepada Allah S.W.T.

Lelaki itu berdoa kepada Allah, “Ya Allah, sudah puas aku mengabdikan diri kepadamu. Seluruh tubuhku terasa sakit dan sudah kering air mataku. Aku menangis kerana-Mu Ya Allah. Tetapi aku tidak tahu, apakah nasibku selepas ini. Samada baik ataupun sebaliknya?”

Doa yang ditujukan kepada Allah itu didengari oleh seekor katak yang berada tidak jauh dari situ. Allah memerintahkan katak itu menjawab pertanyaan lelaki itu.

Dengan izin Allah, katak itu pun bersuara. “Wahai tuan hamba, apakah yang kamu fikirkan dengan ibadat yang baru setahun itu? Adakah tuan hamba tahu, aku sudah tinggal di hutan ini lebih daripada 60 tahun? Aku sering memuji dan berzikir kepada Allah S.W.T.

Kemudian, katak itu menyambung kata-katanya, “Adakah kamu rasa setahun itu sudah cukup mengatakan yang kamu sudah beriman kepada Allah?”

Lelaki itu terdiam sejenak.

“Bagi aku setahun itu sudah cukup lama, sedangkan aku masih juga begini”. Kata lelaki itu.

Katak itu menjawab, “Aku sudah tinggal di dalam hutan ini hampir 60 tahun. Aku tetap juga bertasbih dan bertahmid. Sehingga kini, kakiku masih terasa gementar walaupun siang dan malamku sentiasa memuji kebesaran Allah.”

Sebaik sahaja mendengar kata-kata katak itu, lelaki itu menjawab, “Baru sekarang aku faham. Rupa-rupanya aku sudah tersalah sangka terhadap kebesaran Allah. Sudah hampir 60 tahun kamu beribadah kepada Allah sedangkan aku baru genap setahun.”

“Bertaubatlah kamu.” Kata katak itu lagi.

“Ya Allah, sesungguhnya aku bertaubat dan menyesal di atas keterlanjuranku. Ampunkan segala dosaku,” Kata lelaki itu sambil menangis dan dia turut merasa malu dengan katak tersebut.
_______________________________________________________

Mungkin kita pernah merasa putus asa, sedih tatkala ada doa-doa kita yang masih belum dimakbulkan Allah walaupun kita rasa seolah-olah kita sudah bersungguh-sungguh menjadi hamba-Nya yang soleh. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan janganlah kita mempersoalkan takdir Allah untuk kita.

Bila Allah segera memakbulkan doa kita itu bererti Allah sayang kepada Kita. Bila Allah lewat memakbulkan doa kita, itu bererti Allah ingin menguji kesabaran dan ketaatan kita kepada-Nya. Dan bila Allah tidak memakbulkan doa kita, itu bererti Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita inginkan. Sesungguhnya Allah tidak akan pernah menzalimi hamba-Nya dan janganlah kita menyalahkan diri sendiri dan takdir Allah apabila apa yang kita inginkan tidak tercapai.. Wassalam.

http://jarijemari87.wordpress.com/2011/08/08/insafnya-seorang-pemuda-disebabkan-seekor-katak/

No comments:

Post a Comment