01 May 2013

... sesekali ujian datang menyapa



share dari link fb ~Akhi Tinta Khalifah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

... sesekali ujian datang menyapa

Terkesima, terpaku, terkedu seketika bila ujian Allah menjelma secara tiba-tiba.
Masihkah ada yang setia mendengar keluhan?
Masihkah ada insan yang dapat merasa peritnya?

Di saat ini, insan mula tertekan dengan pelbagai perkara yang sememangnya sangat mengganggu aturan hidup seharian. Kita cuba untuk tidak mengeluh kerana telah tahu semua ini Allah turunkan kerana kita selayaknya dan mampu untuk menanggung.

Tetapi kadangkala letih untuk terus menahan perasaan tanpa membuka mulut dan bercerita. Terasa membengkak dan kesakitan dek perih yang semakin membusuk. Hanya tunggu masa untuk meletup tetapi apakan daya manusia?

Ingin diceritakan kepada teman, tiada yang sudi mendengar. Tiada siapa yang boleh membantu. Lagipun, manusia masih ada Allah, Tuhan yang Maha Mendengar.

Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, ubun-ubunku di tanganMu, keputusanMu berlaku padaku, qadhaMu kepadaku adalah adil, aku mohon padaMu dengan setiap nama baikMu, jadikanlah Al-Quran sebagai penenang hatiku, cahaya bagi dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.

Allah benar akan janjiNya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segalanya. Yang membebankan tidak bermakna kesusahan akhirnya.

Kalau diukur banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah berikan sungguh jauh berbeza.
“Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya.”
(Ibrahim : 34).

Pandanglah di sekitar kita, apa yang kurang? Tidak ada apa yang kurang.

Allah tarik balik sedikit sahaja daripada kurniaNya, mengapa harus berdukacita? Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik?

Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Itu tidak mustahil.

Kerana Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Kerana hanya Iman yang akan meredhakan setiap yang berlaku. Walau apa pun yang terjadi, pastikan Allah yang disebut, daripada Dia ujian ini datang, daripada Dia juga jalan penyelesaian akan datang.

Ulama' sufi pernah menyebut,
"Makhluk yang meminta pertolongan kepada makhluk samalah seperti banduan yang terpenjara meminta bantuan daripada banduan yang juga terpenjara."

Mesti ada kesabaran untuk bertemu kemanisan ujian.
Harus bersangka baik untuk meraih redha Allah.
Kita perlu tabah dan kuat untuk hadapi semua ini.
Tetap bersemangat walau tertekan!

Tidaklah seseorang yang ditimpa masalah dan kesedihan lalu mengingati Allah sehingga menghilangkan duka laranya dan Allah gantikan tempatnya kegembiraan. Yakinlah! "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Ar-Ra'd : 28)

Beruntunglah seseorang yang menyakini akan datangnya fajar setelah gelapnya malam, berharap muncul pelangi setelah derasnya hujan..

Maka berharaplah dan jangan mudah putus asa akan rahmat dan petunjukNYA. Semoga Allah menebar benih-benih kebaikan dalam dada agar berbuah keikhlasan dalam beramal.

1 comment: