MENCONTOHI KEPIMPINAN YANG DIREDHAI ALLAH
Menghayati wasiat Sayyidina Abu Bakar dalam kepimpinan
SAIDINA Abu Bakar adalah Khalifah ar-Rasyidin pertama dan seorang sahabat paling akrab dengan Rasulullah SAW, banyak meninggalkan pesanan berharga buat kita untuk dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan di dunia dan bekalan akhirat.
Antara yang pernah diwasiatkan oleh beliau ialah perlu memperkasakan diri dengan sifat amanah. Katanya, “Amanah adalah harta kekayaan sebenar hasil daripada keimanan yang teguh, ia adalah sifat sekalian kekasih Allah. Maka jadikanlah amanah sebagai perhiasan iman, jauhi kecurangan dan pangkat kemegahan kerana ia akan membinasakan kamu seperti umat terdahulu yang binasa.”
Jika kita perhatikan dengan akal yang tajam, maka pesanan beliau itu menepati saranan Rasulullah SAW mengenai isu sama.
Demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), dan lapar (dengan berlakunya), kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. – Surah al-Baqarah, Ayat 155
Kata Rasulullah SAW: “Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawab akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.” (Riwayat Muslim)
Pesanan Rasulullah SAW dan Abu Bakar itu jelas memberikan peringatan supaya kita tidak berebut-rebut dan melobi untuk muncul sebagai seorang pemimpin.
Ini kerana di bahu pemimpin itu terletaknya beban amanah yang mesti dilaksanakan. Kedudukan seorang pemimpin bukan untuk memperbanyakkan harta peribadi dan mengabaikan tanggungjawab terhadap orang bawahan.
Pemimpin boleh mencontohi sahabat Rasulullah SAW dan Khalifah Umar Abdul Aziz. Pada diri mereka tergambar gaya hidup pemimpin yang dikatakan dalam istilah dunia kepemimpinan moden masa kini sebagai pemimpin transformasi, iaitu pemimpin unggul lagi berwibawa.
Aspek pembinaan negara dan masyarakat yang bersatu padu dan hidup dalam rukun harmoni turut juga diperkatakan oleh Abu Bakar. Ini adalah prinsip asas kepada teguh dan tegaknya negara Islam di Madinah semasa hayat Rasulullah SAW dan pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin.
Kata Abu Bakar: “Orang yang menganjurkan permusuhan adalah orang yang berdiri di tepi jurang neraka yang hanya menunggu saat kehancurannya. Oleh itu, bersatulah di dalam jemaah seperti bersatunya Muhajirin dan Ansar.”
Seperti yang kita sedia ketahui, masyarakat Madinah sewaktu tertubuhnya negara Islam pertama yang diasaskan sendiri oleh Baginda SAW melalui Piagam Madinah, membentuk satu dimensi kehidupan bermasyarakat yang cukup utuh dan berpadu.
Segala sifat jahiliah seperti semangat kesukuan dan taksub terhadap darjat keturunan berjaya ditransformasi kepada susur jalur kehidupan bersemangat kekitaan yang tulen berteraskan keimanan dan ketakwaan.
Pesanan Abu Bakar itu masih lagi relevan dengan situasi semasa yang kita sedang alami dewasa ini yang mana kegawatan hubungan sesama bangsa dan agama selalu berkocak dan hambar. Terlalu banyak konflik sesama sendiri sehingga merobek sedikit demi sedikit warna asas kesepaduan ummah yang pernah dibina oleh Rasulullah SAW dulu.
Selain itu, Abu Bakar juga meninggalkan pesanan cukup bestari dapat memimpin diri kita menuju jalan kehidupan diredhai Allah.
Katanya: ” Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai acara yang mencabar dan penuh ujian Allah, bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada juga yang tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.”
Ada beberapa elemen jati diri yang seharusnya wujud dalam setiap mukmin seperti diperkatakan oleh Abu Bakar tadi.
Pertama, menginsafi bahawa hidup di dunia akan sentiasa berputar lingkungan gaya hidupnya. Ada waktu senang dan susah. Dalam aspek kesulitan hidup, kita diajar agar reda dengan apa yang ditakdirkan Allah serta menganggapnya sebagai bentuk ujian untuk menguji keimanan dan takwa seseorang.
Sebenarnya sebelum itu, Allah pernah mengatakan:
“Demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), dan lapar (dengan berlakunya), kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 155).
Kita sewajarnya selalu ingat bahawa semakin kuat iman seseorang itu, maka semakin kuatlah bentuk ujian yang akan diberikan oleh Allah. Maka, seandainya kita memahami hakikat ini, sudah tentu hati dan jiwa kita selalu bersedia menerima dengan reda dengan apa saja rupa bentuk ujian yang terpaksa dilalui di dunia ini.
Elemen kedua yang difokuskan Abu Bakar dalam kata-katanya itu ialah perlunya kita menerap nilai sabar apabila berhadapan dengan pancaroba dan rona-rona kehidupan.
Hal itu bertepatan dengan peringatan Allah dalam Surah al-Imran ayat 243 yang bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang yang bersabar.”
Sebenarnya melalui tiga pesanan Abu Bakar yang diperincikan tadi mampu membimbing kita menerajui arus cubaan hidup dengan landskap keimanan dan takwa yang tinggi. Kata-kata hikmah beliau yang begitu bijaksana itu wajar dijadikan mekanisme menjana corak hidup yang berprinsipkan jati diri mukmin yang hebat dan diberkati Ilahi.
No comments:
Post a Comment