Peringatan bersama:
[MARI BEREHAT DENGAN SOLAT]
Setiap manusia tidak dapat lari ditimpa ujian dan permasalahan dalam hidupnya. Jalan penyelesaian terbaik ialah dengan mengadukan semua permasalahnmu kepada Allah di dalam solatdan doamu.
Sama ada semua masalah kita akan diselesaikan-Nya ataupun Allah akan menjadikan hati kita tabah dan gagah untuk menghadapinya. Dengan kekuatan itu kita tidak akan terus mengutuk kegelapan, tetapi kita akan terus berusaha mencari cahaya. Kita tidak akan berterusan mengharapkan ikan, tetapi kita akan berusaha sedaya upaya memiliki jorannya!
Ingatlah, apabila Rasulullah s.a.w. menyuruh Sayidina Bilal r.a. mengumandangkan azan, Baginda akan berkata: “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.” (Riwayat Ahmad)
Menerusi permintaan itu, Rasulullah menegaskan bahawa solat sebenarnya memberi suatu kerehatan bagi orang yang mendirikannya. Diriwayatkan daripada Sayidina Huzaifah: “Apabila Rasulullah mengalami suatu kesulitan, Baginda akan segera mengerjakan solat.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Tindakan Rasulullah ini selaras dengan anjuran Allah yang bermaksud: “Dan pintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.” (Surah al-Baqarah 2: 45)
Tentu sahaja dalam solat itu, Rasulullah menemui ketenangan dan kekuatan. Bayangkan, betapa kukuh dan teguhnya jiwa Rasulullah. Baginda dibantu oleh wahyu dan diperkuatkan oleh mukjizat, namun Baginda masih mencari kekuatan dengan solat. Lalu siapakah diri kita yang begitu lemah, tetapi terus angkuh daripada mendapat bantuan Allah menerusi solat?
Marilah mencari kerehatan dengan solat. Mudah-mudahan.
['Genta Rasa'-Pahrol Muhamad Juoi]
~InsyaAllah, Aamiin Ya Rabb..
No comments:
Post a Comment