ANALISA LANGIT DAN BUMI TENTANG HARGA MINYAK - PUTRAJAYA PERLU PAKAR BEDAH SOSIAL
Ulasan kenaikan harga minyak bertajuk RAKYAT DIPAKSA TELAN TANPA PILIHAN oleh SAIFUL NANG, salah seorang pengasas RPWP telah menjadi sangat viral. Jumlah view secara kolektif dari laman sosial gabungan kami melebihi 3 juta view.
Jumlah view itu tidak termasuk dari laman facebook dan blog lain yang memaparkannya dalam bentuk copy paste. Kali ini ia malah turut disebarkan melalui pelbagai Group Whatsapp dan Telegram sehingga ramai Warga Prihatin yang turut menerimanya dari pengirim yang tidak pun kenal Saiful Nang dan RPWP itu sendiri.
Ulasan admin RPWP ke atas artikel Saiful Nang itu antaranya turut menampakkan keperluan mengkaji semula data statistik RM5,900 sebagai Purata Pendapatan Isi Rumah yang sangat mengelirukan. Ia tidak realistik untuk dijadikan ukuran secara adil bagi pembuat dasar. Kami nampakkan ‘jurang perbezaan’ pendapatan antara golongan bangsawan dengan marhaen terlalu jauh, bahkan terlalu ramai yang berada di bawah paras mampu hidup. Inilah golongan yang akan teraniaya.
Oleh itu, kerajaan seharusnya menggunakan ukuran kemampuan ekonomi golongan majoriti yang sebenar dalam membuat dasar. Bukan berpandukan nilai purata secara rambang begitu.
TEORI DOMINO - ANALOGI ALAM YANG MEMPROTES KETIDAKSEIMBANGAN
Artikel itu telah menjentik nurani marhaen yang merasakan ianya sangat realistik dan menepati pengalaman hidup masing-masing. Golongan yang 'terkena' dengan luahan itu telah membacanya dengan linangan air mata. Inilah fenomena ledakan luahan hati yang tidak terbendung lagi. Inilah analogi gunung berapi dari bumi atau banjir Tsunami dari laut, iaitu golongan bawahan.
Dari puluhan ribu komen itu, ramai yang mengeluh adakah ulasan yang amat menyentuh hati dan dikatakan mewakili seluruh rakyat marhaen itu sudi dibaca dan diambil peduli oleh golongan atasan?
Dalam situasi sekarang ini, luahan dari media sosial telah menjadi satu bahan berita yang telus dan cepat walaupun banyak juga yang bersifat fasik dan berunsur fitnah. Oleh itu sukacita kami maklumkan bahawa artikel itu telah mendapat perhatian dari banyak pihak atasan, samada secara peribadi atau berkumpulan. Bersyukurlah kita bahawa asbab ini telah menjentik hati banyak pihak yang selama ini lalai, tidak menyedari realiti kesusahan rakyat bawahan. Mereka terlalu asyik, mabuk harta atau tidur lena.
Terlalu ramai yang menghantar mesej, menyokong penuh luahan itu melalui inbox, telegram, whatsapp, tweeter, instagram, email dan sebagainya. Antaranya termasuk dari para pemimpin di peringkat menteri dan pelbagai NGO. Ada yang menawarkan untuk mengajak bersemuka dengan YAB Perdana Menteri, bahkan ada Timbalan Menteri yang jemput kami untuk memberikan saranan ke Putrajaya dan sebagainya.
Untuk itu, kami ingin mempelawa mereka turun bertandang, mencemar duli untuk bersembang 'beratapkan langit' bersma kami di RPWP. Biar nampak sukarnya kehidupan rakyat, tidak hanya melalui kata-kata, gambar maupun video yang hanya dilihat sambil lena di kerusi empuk. Itupun jika mereka benar-benar ikhlas untuk menyelami hati nurani rakyat secara langsung.
Cukuplah selama ini pelbagai temujanji dan saranan yang telah kami beri di menara Putrajaya yang berpinggan emas itu. Belajar-belajarlah berpijak di bumi dan beratapkan langit pula. Kami pun ada banyak kerja kebajikan yang tertangguh dan perlu diuruskan.
Kenyataan DYMM Sultan Perak yang disiarkan dalam media semalam turut memperkukuhkan fenomena ledakan ini. Alhamdulillah kita bersyukur kerana kebetulan Baginda Sultan juga telah dengan tegas dan lantang menyokong fakta yang kami utarakan, siap dengan angka rasmi statistik yang menyokong kesemua fakta yang kami kemukakan.
Sejak hari pertama memerintah, Baginda memang sering memberikan amaran agar pegawai negeri sentiasa memberikan gambaran yang sebenar tentang rakyat. Jangan dimanipulasi dan mempersembahkan hanya lapuran yang baik-baik sahaja sehingga kerajaan dan istana terlalai serta tersalah membuat tindakan lalu menganiaya rakyat.
Semalam baginda turut menegaskan agar PUTRAJAYA jangan mudah tertipu dengan lapuran dari para pegawai kerajaan, khususnya kaki bodek yang suka memanipulasi fakta dan gambaran sebenar. Baginda turut menyeru agar kerajaan tidak membuat tindakan dan menetapkan polisi menggunakan lapuran palsu tentang situasi rakyat kerana itu akan membuatkan ramai rakyat tertindas.
Jika luahan dan teguran dari kita rakyat marhaen tadi adalah ledakan dari bumi, maka teguran Baginda Sultan ini boleh kita analogikan sebagai teguran dari langit pula. Mari sama-sama kita teliti ucapan baginda…
* * *
JURANG ANTARA KAYA DAN MISKIN UMPAMA PENYAKIT YANG MEMERLUKAN RAWATAN SERIUS – SULTAN PERAK
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini mengingatkan Putrajaya supaya berhenti menafikan kewujudan kekayaan tidak sama rata di negara ini dan sedar kesusahan hidup dan kemiskinan juga boleh menyebabkan kegiatan rasuah.
Dalam ucapannya, baginda memetik angka menunjukkan pendapatan rendah di kalangan majoriti isi rumah di Malaysia, sambil berkata mereka yang bertungkus lumus memenuhi keperluan hidup terdedah dengan rasuah pada skala kecil.
Baginda berucap pada majlis ulangtahun ke-47 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, di sebalik perbahasan mengenai pengumuman Putrajaya baru-baru ini mendakwa purata pendapatan isi rumah rakyat melebihi RM5,900.
Sementara mengambil maklum yang rasuah juga wujud di kalangan pegawai berpangkat tinggi di sektor awam dan swasta akibat sifat tamak mereka, Sultan Nazrin berkata rakyat golongan bawahan ada yang melakukan kerja kedua bagi menampung keperluan keluarga demi mengelak terjebak dalam rasuah.
Ini akhirnya akan menjejaskan produktiviti mereka di tempat kerja, titahnya.
"Inilah hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang tergolong dalam kategori ini akan semakin bertambah jika formula berkesan tidak diperkenalkan terutama memberikan fokus kepada aspek-aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta khidmat kesihatan dan rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin meningkat.
"Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku," titahnya.
Baginda memetik laporan Model Ekonomi Baru yang menunjukkan 80% isi rumah di negara ini berpendapatan kurang RM5,000 sebulan dan 40% berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
Ia juga menunjukkan 78.6% pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Sementara itu, titahnya, tahap keupayaan pelaburan di kalangan majoriti bumiputera boleh dimanifestasikan melalui simpanan Amanah Saham Bumiputera di mana 75% daripada penabungnya memiliki purata tabungan hanya RM611 seorang.
Sultan Nazrin bertitah, data itu sangat membimbangkan dalam usaha negara mencapai taraf negara maju dengan sasaran pendapatan per kapita RM48,000 setahun pada tahun 2020.
Katanya, keadaan itu umpama penyakit yang memerlukan rawatan serius.
"Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan," katanya.
* * *
Ampun Tuanku. Hamba patik berterima kasih atas keprihatinan DYMM Tuanku.
Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita korbankan keegoan kita, kita korbankan nafsu serakah dan sedikit kuasa yang ada, merendah diri menyelami perasaan dan penderitaan orang lain. Hentikan pemborosan dan ketirisan pengurusan dana negara yang hanya menambah hutang. Jangan kita hanya memaksa rakyat sahaja yang berkorban.
Semuga ada kesedaran pihak yang terlibat untuk bersungguh-sungguh muhasabah diri dan membuat ISLAH dengan segera.
WARGA PRIHATIN
* * *
SUMBER BERITA:
Perak Sultan Proposes Holistic Approach To Combat Corruption
Stop being in denial, pay gap causes graft, Perak Sultan tells Putrajaya
blog saya
satu lagi boleh dilawati : http://jasminshahab205.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment