~ In love with ALLAH S.W.T ~
Bismillahir Rahmanir Raheem…. All Praise is due to Allah….
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…
Ikhlas bersyukur tenangkan fikiran
AL-IMAM Ibn al-Jawzi dalam kitabnya Minhaj al-Qasidin menerangkan cara bersyukur. Antaranya:
• Syukur lisan dengan melafazkan hamdalah (Alhamdulillah).
• Syukur hati dengan reda kepada Allah di atas apa yang diberi dan apa yang diambil kembali.
• Syukur amalan dengan cara melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat.
Tiga perkara ini nampak mudah untuk diamalkan. Tetapi, bagaimanakah
dengan realiti sebenar jika kita berhadapan dengan pelbagai masalah
dalam kehidupan?
Untuk itu ambillah pengajaran daripada orang salih cara mereka menterjemahkan syukur kepada Allah.
Berikut ini diperturunkan catatan mengenai teladan itu :
• Syukur kerana anugerah iman dan Islam.
Peristiwa ini berlaku pada saat pembahagian ghanimah (harta rampasan
perang) selepas selesai Peperangan Hunain. Peperangan ini terjadi
selepas pembukaan kota suci Makkah.
Sahih al-Bukhari merekodkan
daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah SAW
membahagi-bahagikan harta kepada orang Muhajirin sebanyak 100 unta
setiap seorang, dan Baginda tidak membahagikannya untuk orang Ansar.
Berkata sebahagian orang Ansar: “Sesungguhnya Rasulullah SAW hanya
memberi kepada orang Quraisy, sedangkan kami tidak diberi, padahal
pedang kami masih berlumuran darah. Mudah-mudahan Allah mengampuni
kekeliruan Baginda SAW.”
Cakap-cakap mereka ini akhirnya
terdengar oleh Nabi SAW. Baginda pun memanggil semua orang Ansar.
Baginda bersabda: “Wahai orang Ansar! Bukankah kamu telah mempercayai
aku ketika orang lain mendustakan aku? Bukankah kamu telah melindungi
aku ketika orang lain menghalau aku? Dan bukankah kamu telah membela aku
ketika orang menghinakan aku?”
Mereka serentak menjawab dengan berlinangan air mata: “Untuk Allah dan rasul-Nya anugerah itu.”
Kemudian Rasulullah SAW meninggikan kalimahnya:“Bukankah dulu aku
dapati kamu dalam kesesatan, lalu Allah memberi hidayah kepada kamu
dengan kedatangan aku? Bukankah dulu aku dapati kamu dalam keadaan
fakir, lalu Allah memberikan kecukupan kepada kamu dengan kedatangan
aku? Bukankah dulu kamu dalam keadaan bermusuhan, lalu Allah menyatukan
hati kamu dengan kedatangan aku?”
Kata-kata itu begitu menusuk
ke hati mereka. Mereka bertambah sedih mendengar pertanyaan Rasulullah
SAW yang bertalu-talu. Dalam esakan dan tangisan mereka menjawab: “Benar
wahai Rasulullah SAW.” Kemudian Nabi SAW meninggikan lagi suaranya:
“Wahai orang Ansar! Tidak relakah kamu jika orang Muhajirin itu pergi
dengan membawa unta, sedangkan kamu pergi dengan membawa Rasulullah SAW?
Demi Allah, kepergian kamu membawa Rasulullah SAW adalah lebih baik
daripada kepergian mereka membawa unta itu. Sesungguhnya kamu telah
mendapat inti, sedangkan mereka mendapat kulit luarnya saja. Demi Allah,
seandainya aku harus melalui suatu jalan, sesungguhnya akan aku lalui
jalan yang kamu lalui.
Mudah-mudahan Allah mengampuni dan merahmati kamu, wahai orang Ansar berserta anak dan cucu kamu.”
Mendengar kesungguhan Rasulullah SAW menyatakan isi hati Baginda yang
begitu tulus, mereka semua bertangisan dan menjawab berulang-ulang:
“Kami rela Allah sebagai Tuhan kami dan Muhammad sebagai Nabi kami!”
Begitulah kesyukuran yang ditunjukkan. Ia mengalir dari hati yang
jernih, menenangkan seluruh jasad dan menundukkan pemikiran logik di
bawah kuasa hati yang reda. Sesungguhnya nikmat yang paling besar ialah
iman dan Islam yang dilimpahkan ke dalam hati manusia.
• Syukur kerana nikmat harta.
Pembukaan istana Kisra Parsi, Iwan Putih yang bertatahkan emas permata
oleh panglima tentera Mukmin dan bala tenteranya yang salih turut
mengajar erti kesyukuran. Beliau ialah panglima yang gagah lagi berani,
Saidina Saad bin Abi Waqqash.
Selepas berjaya memasuki Istana Kisra, beliau lantas mengagungkan Allah dengan sebaik-baik laungan: “Allahu Akbar!”
Ketika melihat kilauan gemerlapan emas dan permata yang menghiasi
istana itu, ingatannya terus menerpa kepada firman Allah yang terus
dialunkannya dengan suara yang penuh kekhusyukan dan tangisan tanda
kesyukuran.
Ayat itu bermaksud:
“Alangkah banyaknya taman
dan mata air yang mereka tinggalkan, dan kebun serta tempat yang indah,
dan keseronokan yang mereka nikmati. Demikianlah kami wariskan semua itu
kepada kaum yang lain. Maka, langit dan bumi tidak menangisi mereka dan
merekapun tidak diberi tangguh.” (Surah al-Dukhan, ayat 25-29)
Ayat
ini begitu menyentuh jiwa, mengingatkan kita nikmat harta yang Allah
kurniakan kepada hamba-Nya. Tetapi, adakah kita memiliki perasaan sama
seperti Saidina Saad atau mungkinkah kita sama seperti mantan penghuni
Istana Kisra itu?
Kedua-duanya mempunyai persepsi berlainan terhadap anugerah harta. Harta yang berkat memiliki cirinya yang tersendiri, iaitu:
1. Apabila diperoleh ia dapat membuat kita bersyukur.
2. Apabila diambil ia menjadikan kita hamba yang reda.
3. Ia tidak melalaikan daripada mengingati Allah.
4. Ia bukan menjadi alat untuk bermaksiat, tetapi menjadi wasilah untuk beribadat
No comments:
Post a Comment