15 November 2014

Kelebihan Berpagi-pagi (Memulakan Awal Hari) Di Dalam Kebaikan

share dari link fb ~As Sunnah

Kelebihan Berpagi-pagi (Memulakan Awal Hari) Di Dalam Kebaikan

Rasulullah bersabda bahawa berpagi-pagi di jalan Allah adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya.

Menurut sebuah hadith yang lain, siapa yang keluar dari rumahnya mencari ilmu di jalan Allah sampai pulang dengan niat yang ikhlas, maka ia seolah-olah seperti seorang pejuang di jalan Allah.

Maka semua amalannya yang dilakukan di awal hari dengan niat kerana Allah seperti zikir sebelum dan sesudah subuh dan berniat iktikaf di masjid menjadi sebab untuk dilipatgandakan pahalanya seperti seorang mujahid di jalan Allah.

Akhlak Yang Dianjurkan Rasulullah

Manusia terbina atas dua unsur :

Lahiriah
Batiniah
Di dunia, yang dilihat hanyalah jasad dan anggota badan (rupa kita tiada kaitan dengan keadaan batiniah kita).

Namun di akhirat, rupa keadaan kita ditentukan oleh akhlak dan perbuatan kita.

Maka barangsiapa yang akhlaknya banyak menuruti perjalanan nabi dan siddiqin akan dibangkitkan bersama mereka.

Sebaliknya, jika manusia banyak menuruti perbuatan binatang buas yakni bengis dan mengganggu orang, maka dia akan dibangkitkan dalam bentuk binatang buas.

Maka yang menjadi dasar bagi menentukan keadaan kita di akhirat adalah perbuatan kita di dunia.

Inilah yang dimaksudkan dari firman Allah dalam Surah As-Syu’ara ayat 87-89 :

“Hari yang tiada berguna harta benda dan anak-anak, melainkan sesiapa yang pulang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.”

Pembahagian Akhlak

Akhlak kita terbahagi kepada dua:

Akhlak kita kepada Allah
Akhlak kita kepada manusia & lain ciptaan Allah
Di dalam Surah Al Isra’ ayat 19 disebutkan:

“Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.”

Dalam hadith juga disebut:

“Yang paling aku cintai dan paling dekat denganku adalah sesiapa yang paling baik budi pekertinya.”

Dalam sebuah hadith yang lain:

“Tidak ada yang lebih berat di mizan (timbangan amal di hari kiamat) daripada akhlak yang baik.”

Maka mustahil orang yang berakhlak mulia yang akan ditimpakan azab api neraka.

Para arifin (mereka yang dekat dan mengenal Allah) menyatakan bahawa tidak pernah terjadi keadaan di mana terkumpul semua akhlak yang mulia pada seseorang melainkan hanya pada Rasulullah.

Seseorang yang terkenal mempunyai budi pekerti yang mulia adalah disebabkan keadaannya yang mengikuti akhlak yang dimiliki Rasulullah. Inilah yang terserlah pada:

Para nabi-nabi, Para siddiqin, Para solihin
Akhlak Mulia Adalah Tanda Iman

Antara tanda orang yang berakhlak dengan Allah adalah merasakan diawasi Allah sebagaimana kita berhadapan dengan Allah. Ini boleh dicapai dengan memastikan kita tidak mengutamakan perkara yang lain lebih dari Allah.

Doa seorang solihin:

“Ya Allah Tuhan segala sesuatu. Dengan kekuasanMu atas segala sesuatu. Maka ampunilah aku atas segala kekurangan dan jangan hukum aku atas segalanya.”

Bagaimana Ingin Merasakan Pengawasan Allah

Senantiasa meneliti apa yang diri kita ucapkan & niatkan
Apabila kita tahu sesuatu yang kita lakukan diredhai Allah, maka jangan dipedulikan perkara yang lain yang boleh mengurangkan keredhaan Allah
Dan apabila kita tahu bahawa apa yang kita lakukan tidak diredhai Allah, maka jangan ditakuti dan terancam oleh bisikan hawa nafsu dan ancaman manusia.
Sifat merasakan diri diawasi Allah juga dinamakan muraqabah. Ia juga dianggap anak tangga bagi memasuki kedudukan ihsan.

Ihsan adalah seperti yang disebutkan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith: “Engkah menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Maka sekiranya engkau tidak dapat berbuat seolah-olah engkau melihatnya, maka ketahuillah bahawa Dia memerhatikan engkau.”

Nasihat Para Kekasih Allah Tentang Menghadap Allah:

Imam Ali Zainal Abidin apabila ingin solat wajahnya akan merah dan merasa lemah. Katanya: “Engkau tidak tahu kepada siapa aku sedang berhadapan.”

Syeikh Abdul Aziz Dabbagh pula mengumpamakan keadaan seorang hamba yang menghadap Allah seperti seorang rakyat yang menghadap Rajanya. Semakin dia mendekati istana Raja dan melihat kekuasaan Raja, semakin terasa kehebatan sang Raja. Maka dia akan memastikan bahawa dia menghadap Raja dengan penuh penghormatan dan adab.

Ikhlas Adalah Sebahagian Daripada Akhlak Kepada Allah

Ikhlas membawa makna mensucikan diri dari selain Allah.

Dalam sebuah hadith Qudis disebutkan bahawa siapa yang beramal kerana Allah tetapi mencampurkan niatnya dengan perkara yang lain, maka dia akan dicampakkan Allah pada perkara lain yang di dalam niatnya tersebut.

Saidatina Aishah menyuruh pembantunya mendengarkan ucapan orang yang menerima pemberian daripadanya (Saidatina Aishah) lalu didoakan bagi penerima itu dengan doa yang sama untuk menjaga hatinya agar tidak memberi sesuatu dengan harapan untuk mendapat ganjaran walaupun dalam bentuk doa.

Al Habib Umar bin Hafiz menceritakan bahawa gurunya yakni Habib Muhammad bin Abdullah Hadar tidak mengharapkan balasan daripada murid-muridnya walaupun dengan ucapan “jazakallahu khairan” sekalipun.

*jazakallahu khairan : semoga Tuhan membalasmu dengan kebaikan

Habib Abdurrahman Bilfaqih juga memberikan makanan yang terbaik kepada kuda raja sebagai bukti keikhlasannya di dalam memberikan yang terbaik tidak kira pada siapa.

Hubungan Akhlak & Firman Allah : Kepentingan Mengamalkan Al Qur’an

Keadaan Iman kita amat berkait dengan kalam Allah. Tetapi manusia lebih suka mendengarkan kata-kata manusia berbanding dengan kalam Allah.

Pembacaan Al Qur’an perlu dijadikan wirid yang khusus dilaksanakan setiap hari.

Bagi yang lancar, perlu membaca satu juzu’ setiap hari.

Bagi yang kurang lancar, jangan kurang dari separuh juzu’.

Sebaik-baiknya, mengkhatamkan al Qur’an setiap minggu sekali ataupun sekali dalam tiga hari.

Kebiasaan Para Sahabat Dan Para Ulama’ Mengkhatamkan Al Qur’an

Saidina Uthman mengkhatamkan Al Qur’an dalam satu rakaat solat.

Al Habib Hasan Bin Soleh Al Bahar di dalam solat malamnya membaca surah Al Ikhlas sebanyak 90,000 kali dalam rakaat pertama dan mengkhatamkan al Qur’an pada rakaat kedua.

Al Habib Abdurrahman As-Saqqaf pada awalnya mengkhatamkan Al Qur’an pada siang sekali dan pada waktu malam sekali dan meningkatkannya secara beransur kepada 4 kali di siang hari dan 4 kali di malam hari.

Kepentingan Menghayati Makna Al Qur’an:

Selain dari rajin membaca Al Qur’an, kita juga perlu rajin menghayati makna.

Ashabul Qur’an iaitu mereka yang tenggelam dalam membaca dan menghayati Al Qur’an akan

mendapat syafa’at Al Qur’an dan dapat memberi syafa’at kepada orang lain
Semoga Bermanfaat.
blog saya satu lagi boleh dilawati :  http://jasminshahab205.blogspot.com/  

No comments:

Post a Comment