24 November 2015

Ibadah Bangun Malam


share dari link fb ~ Raudhatul Muhibbin

Ibadah Bangun Malam; "Mari kita usahakan untuk bangun malam beribadat kepada Allah سبحانه وتعالى setiap hari. Walaupun hanya menunaikan solat sunat dua rakaat yang ringkas. Kerana waktu sepertiga malam ini adalah suatu waktu yang tersangat istimewa bagi seseorang hamba itu bersama dengan tuhan-Nya."

"Orang orang yang mengetahui dan merasakan kelazatannya. Maka mereka mengatakan tidak ada suatu waktu yang lebih mereka cintai melainkan setelah tibanya waktu malam dan tiada waktu yang lebih menyedihkan apabila terbitnya fajar. Sesungguhnya ilmu itu adalah untuk diamalkan."

"Teramat rugilah bagi mereka yang mengetahui tetapi tidak mengamalkan apa yang mereka ketahui. Imam Al-Ghazali Rah mengatakan; "Seandainya ilmu semata-mata itu cukup bagi engkau dan tidak perlu kepada amalan maka tidak ada faedahnya seruan suci di tengah malam." 

"Al-Imam Al-Ghazali ingin mengesa kepada para penuntut ilmu untuk mereka mengamalkan ilmu yang mereka perolehi. Di antara amalan ke atas ilmu tersebut adalah ilmu mengenai kelebihan fadhilat solat malam qiamullai, ilmu mengenai bagaimana Nabi ﷺ bertahajjud sampai bengkak-bengkak kakinya." 

"Dan sehingga Saidatina Aisyah r.a bertanya; "Ya Rasulullah. Bukankah engkau ini telah diampunkan Allah dosa-dosa mu yang telah lepas dan dosa-dosa mu yang akan datang? Mengapa kamu perlu beribadah kepada Allah pada malam-malam sebegini sehingga bengkak-bengkak kakimu?"

"Maka Rasulullah ﷺ mengatakan; "Bukankah aku ini ingin menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah سبحانه وتعالى." Demikian keadaan manusia yang dicintai oleh Allah سبحانه وتعالى yang dijamin Syurga oleh Allah سبحانه وتعالى Penghulu kepada seluruh manusia tetapi Baginda Rasulullah ﷺ yang dosanya telah pun diampunkan yang maksum."

"Akan tetapi beristighfar kepada Allah setiap hari tidak kurang daripada tujuh puluh kali. Di dalam hadis Rasulullah ﷺ mengatakan; " Pada akhir malam. Allah سبحانه وتعالى turun ke langit dunia setiap malam seraya menyerukan; "Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku akan mengabulkannya. Barangsiapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku akan memberikannya."

"Dan barangsiapa yang memohon keampunan kepada-Ku nescaya Aku akan mengampuninya."
Oleh kerana itu bagi mereka orang-orang soleh. Mereka akan berusaha supaya tidak meninggalkan solat malam qiamuallai. Ulama mengatakan " Waktu malam qiamuallai adalah perjalanan orang-orang soleh." Kerana apa?"

"Kerana orang-orang soleh mereka menginginkan suatu bentuk hubungan yang intim yang di dalamnya bermunajat kepada Allah yang di dalamnya berbisik-bisik dengan Allah yang di dalamnya dia menangis di hadapan Allah menyesal di atas segala dosa-dosa, kesalahan dan kelalaian yang dilakukan."

"Mereka merasakan ini merupakan suatu waktu yang bernilai yang mahal di sisi Allah سبحانه وتعالى yang mana ianya adalah kurniaan yang besar daripada Allah سبحانه وتعالى kerana waktu malam adalah suatu waktu yang ramai manusia sedang sedap lena dalam tidurnya. Jadi mereka yang terjaga di waktu malam yang dipilih oleh Allah سبحانه وتعالى untuk solat malam ini merupakan suatu nikmat yang begitu besar."

"Saidina Abdullah Ibnu Salam r.a. mengatakan; "Pada waktu pertama sekali Rasulullah ﷺ datang ke Madinah. Hadis yang pertama yang aku dengar daripada Rasulullah ﷺ adalah; " Wahai sekalian manusia. Hendaklah kamu sebarkan salam, hendaklah kamu menjamu dengan memberi makan kepada orang, hendaklah kamu hubungkan silaturrahim dan hendaklah kalian sembahyang pada waktu malam ketika orang-orang sedang tidur nescaya kalian akan masuk ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera."

"Ulama mengatakan; " Mereka yang dapat bangun malam kedinginan malam itu akan lebih memberi kesan impak yang kuat kepada rohaninya kepada batinnya. Bagaimana kita ingin cepat bermusyahadah? Hati kita bermusyahadah menyaksikan Allah maka dengan bangun malam solat malam yang mana ianya lebih hampir kepada keikhlasan."

"Dan ianya akan menzahirkan keabdian seorang hamba kepada Rabb-Nya yang mana ianya akan membantu seseorang itu untuk menghidupkan hatinya bercahaya hatinya." Dan Sufyan As-Sauri Rah mengatakan; "Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى telah menciptakan satu angin yang berhembus di waktu sahur untuk membawa zikir dan istighfar kepada Tuhan Raja Yang Maha Perkasa."

"Dan beliau berkata lagi; " Apabila bermula malam maka memanggillah suatu pemanggil Malaikat daripada bawah Arasy; "Hendaklah bangkit Para Abidin yakni orang-orang yang banyak beribadat. Maka mereka pun bangkit dan terus bersembahyang dengan sembahyang yang banyak.
Dan apabila sudah berlalu separuh malam maka memanggil pula suatu pemanggil Malaikat."

"Hendaklah bangkit Para Qanitin yakni orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam ibadat. Maka mereka pun bangkit dan terus bersembahyang sehingga sampai ke waktu sahur.
Dan apabila datang waktu sahur maka memanggil pula suatu pemanggil Malaikat."

"Hendaklah bangkit Para Mustaghfirin yakni orang-orang yang mahu beristighfar. Lalu mereka pun bangkit dan terus beristighfar. Dan apabila fajar sudah naik menyinsing maka memangillah oleh suatu pemanggil Malaikat." Hendaklah bangkit golongan Ghafilin yakni orang-orang yang lalai."

"Lalu mereka pun bangkit daripada hamparan mereka laksana orang mati yang dibangkitkan daripada kubur mereka. Sungguh rugi mereka yang berada dalam golongan ini. Sebagaimana yang diwasiatkan oleh Lukman Al-Hakim kepada anaknya yang mengatakan; "Wahai anakku yang tercinta. Janganlah sampai ayam jantan itu lebih bijak daripada engkau.."

"Ia berkokok di waktu sahur mengejutkan orang untuk bangun sembahyang sedangkan engkau masih tidur lagi. Bagaimana seorang yang mendakwa cinta kepada Allah سبحانه وتعالى tapi dia tinggalkan waktu malam yang Allah سبحانه وتعالى inginkan suatu bentuk keintiman bersama dengan hamba-hamba-Nya."

"Oleh kerana itu, kita perlulah untuk berusaha bangun malam qiamuallai. Biarpun kita hanya bangun untuk solat dua rakaat ringkas sahaja kerana sesuatu yang disukai oleh Allah سبحانه وتعالى adalah amalan yang sedikit tetapi ianya istiqomah daripada kita melakukan banyak amalan pada hari ini tetapi selepas itu kita tinggalkan sedikit demi sedikit. Disebabkan itu kita tak mampu untuk melaksanakannya, kita pula kena usahakannya."

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.
blog saya satu lagi boleh dilawati :  http://jasminshahab205.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment