Biar tak menyentap. Lebih baik menyentuh hati.
Kami diajarkan daripada guru-guru kami dengan mengajak manusia kepada kebaikan dengan kasih sayang. Allah memerintahkan kita untuk menuturkan kata-kata yang baik kepada musuhNya. Ketika Nabi Musa AS dan saudaranya Nabi Harun bertemu Firaun, Allah mengingatkan mereka: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka hendaklah kamu berdua berbicara kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut.” (Taha 20: 43-44)
Bayangkan, kepada Firaun, manusia terkutuk itu pun Allah masih memerintahkan rasul-Nya menggunakan bahasa yang lemah lembut. Jika manusia sejahat itu pun perlu disantuni dengan kata-kata yang lemah lembut apatah lagi kepada umat Islam dan bukan Islam yang tentunya tidak sejahat Firaun. Mengapa? Allah menjawab, “mudah-mudahan dia beringat atau takut.” Dengan hikmah.
Apakah niat kita ketika melakukan sedemikian? Adakah kita merasakan kita lebih baik daripada orang yang kita dakwah itu. Jika itulah yang kita rasai maka kita perlu muhasabah diri. Kerana takut-takut orang yang kita dakwah itu lebih jauh daripada agama. Maka siapa yang akan dipersalahkan nanti?
Cuba kita lihat cara dan gaya ulama-ulama dahulu menulis kitab-kitab mereka. Khususnya ulama-ulama tasawuf. Dalam kitab mereka. Kita akan terasa betapa cinta dan kasih sayangnya mereka kepada siapa yang membaca tulisan mereka. Ini kerana nada, gaya, ayat dan bahasa yang digunakan penuh bujukan, teguran yang seolah-olah membelai pembaca. Sehingga… apabila kita membacanya terasa mereka bagaikan ayah, ibu, sahabat atau teman yang paling akrab. Tulisan mereka menyelinap masuk ke dalam lubuk hati tanpa kita sedari. Tidak ada bentakan, cemuhan dan kata-kata yang menggores hati.
Bahasa itu jiwa bangsa. Demikian kata orang yang bijaksana. Apabila jiwa dipenuhi kasih-sayang dan kemesraan bahasa akan jadi lunak, halus serta indah. Percakapan atau tulisan yang sedemikian akan menggugah rasa dan begitu indah apabila didengar dan dibaca. Gaya yang sebegini sebenarnya lebih upaya untuk membina kebenaran dan meruntuhkan kebatilan dalam diri manusia.
Ia umpama akar, lunak dan perlahan tetapi tidak ada tanah walau sekeras mana mampu menahan tusukannya. Ia umpama air, lembut tetapi tidak ada tembok yang dapat menahan alirannya. Ditahan di atas, air akan mengalir ke bawah. Disekat di bawah, air terus mengalir lalu melimpah dari atas. Begitu bahasa yang penuh kasih sayang… ia adalah satu kuasa yang kuat dan dahsyat. Ia dapat meleburkan kejahilan sekali gus melenturkan kedegilan. Jika ditulis dengan bahasa kasih sayang, InsyaAllah yang membaca akan rasa bersalah bukan dipersalahkan
Bahasa dan kata yang lembut bukan hanya mampu menundukkan akal tetapi juga dapat menakluki hati. Hujah yang dibalut mahabbah rasa cinta adalah jalan untuk menggamit hidayah. Berbeza dengan hujah yang benar tetapi kasar… mampu menundukkan akal tetapi gagal menawan hati. Lalu yang jahil tetap berdegil, bukan kerana tidak tahu, tetapi tidak mahu.
Bahasa yang kasar sekalipun benar, tetap menyakitkan. Apabila mendengar atau membaca tulisan yang sebegini diri terasa dipersalahkan. Namun jika kebenaran dapat disampaikan dengan lunak dan mesra, akan menimbulkan rasa bersalah dalam diri pendengar atau pembaca. Berbeza sekali impak rasa bersalah dan dipersalahkan. Orang yang rasa bersalah…akan akur dan berubah. Sebaliknya, orang yang rasa dipersalahkan akan bangun menentang sekalipun tahu mereka bersalah.
Malah dalam budaya Melayu yang terkenal dengan sifat sopan santunnya, pendekatan yang keras dan kasar difikirkan semula. Ini kerana budaya bangsa yang tidak bertentangan dengan Islam (malah dalam konteks ini sejajar) wajar dikekalkan malah disuburkan. Peribahasa Melayu mengungkapkan, “ular biar mati, tanah jangan lekuk, buluh jangan pukah.” Maksudnya, perlu satu kebijaksanaan, kelembutan dan sikap berhati-hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Biar kasar asalkan benar. Tidak mengapa ‘biadab’ asalkan menyentap. Dua prinsip ini rasanya tidak sesuai untuk dibudayakan dalam masyarakat yang menjunjung tinggi nilai-nilai murni. Mungkin sekali-sekala, ada kewajarannya. Namun bukan untuk dijadikan kebiasaan pada setiap masa dan ketika. Lihatlah betapa beradabnya Allah dalam ketika menggunakan istilah ‘menyentuh’ merujuk kepada maksud bersetubuh di dalam Al Quran. Betapa tinggi bahasa dan adab.
Justeru, tidak boleh terpengaruh dengan prinsip ‘tujuan menghalalkan cara’ dalam penulisan Islam. Mesej yang benar mesti disampaikan dengan cara yang benar. Bukan hanya tujuan yang diambil kira tetapi jalan menujunya juga sangat dipentingkan. Dalam menyampaikan kebenaran Allah mengingatkan, agar tidak menggunakan pendekatan yang keras dan kasar. Firman Allah: ”Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling mu.” (3:159) Sebaliknya Allah memerintahkan kita menggunakan pendekatan yang lemah-lembut.” FirmanNya:”Hendaklah kamu berlaku lemah lembut. Janganlah kamu berlaku kasar.” (Ali Imran: 159)
Al-faqir ilallah
Raudhatul muhibbin
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://jasminshahab205.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment