Pages

31 May 2013

DOA UNTUK KELUARGA TERCINTA

DOA UNTUK KELUARGA TERCINTA

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim….
Kau yang Maha Pengampun…
Ampunilah segala dosa-dosa dan kesalahanku
Ampunilah dosa-dosa dan kesalahan suamiku/isteriku
Ampunilah dosa-dosa dan kesalahan kedua ibu bapa kami,
abang-abang kami, kakak-kakak kami, adik-adik kami, seluruh keluarga kami
sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia….

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Jauhkanlah kami semua dari siksaan dan azabMu,dari api nerakaMu, dari kemurkaanMu, dari maksiat dan keburukan serta godaan syaitan dan tipu daya syaitan.Dekatkan kami dengan syurgaMu,dekatkan kami dengan kasih sayangMu dan dekatkan kami dengan ilmu agamaMu.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Berikanlah petunjuk untuk kami menuju ke syurgaMu
Bukakanlah pintu hati kami untuk menerima cahaya petunjuk dariMu
Tabahkan hati kami dalam menerima ujian dariMu
Jadikanlah anak-anak kami hamba yang taat dan beriman dan anak yang soleh
Jadikanlah kami ibu bapa yang baik bagi membimbing anak-anak kami

Ya Allah Ya Rabbi Ya Karim
Murahkanlah rezeki kami, Mudahkanlah perjalanan hidup kami di dunia dan akhirat…
Matikanlah kami dalam agama Islam
Teguhkan hati kami dalam agama Islam dan janganlah kau tarik nikmat Islam di dalam hidup kami

Ya Allah Ya Rahman
Limpahkan kasih sayang dan keberkatan di dalam keluargaku
Sayangilah aku, ampunilah aku, lindungilah aku
Hanya kepadaMu tempat aku bermohon dan mengadu
Makbulkanlah doaku ini

Amin……..

Kasih Ibu Membawa Ke Syurga, Kasih Ayah Sepanjang Masa..


Kasih Ibu Membawa Ke Syurga, Kasih Ayah Sepanjang Masa..

Kewujudan kita hari ini sesungguhnya satu nikmat yang amat besar dari Allah swt. Melalui dua orang insan mulia, satu ketika dahulu kitalah yang menjadi ‘sang juara’ mengatasi ribuan yang lain dalam sebuah perjuangan demi sebuah kehidupan.


Tanpa mereka, siapalah kita..? Tanpa mereka,akan lahirkah kita melihat dunia hari ini..?


AYAH dan IBU... BAPA dan EMAK...ABI dan UMMI..


Ya,merekalah dua orang insan yang mulia itu. Bertuahnya kita kerana dikurniakan mereka yang mana sejak lahir hinggalah ke saat ini, merekalah insan yang benar-benar menyayangi kita tanpa memperoleh sebarang balasan pun. Tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, hadiah, penghargaan dan sebagainya mereka dengan ikhlasnya menjaga dan membesarkan kita dengan penuh susah dan kepayahan.Dan bukan cuma seorang! Tetapi berlima,berenam malah mungkin berbelas adik-beradik yang lain.


Lihatlah garis-garis halus dan kedutan di wajah ayah dan ibu..Satu ketika dahulu,wajah yang tampan dan cantik itu kini berubah dek kerana usia yang kian dimamah waktu. Segala kekerutan di wajah mereka, segala kebimbangan mereka, tidak lain hanyalah kerana risau memikirkan hidup anak-anaknya.


Lihatlah pula rambut mereka yang dahulunya hitam kini berubah putih beruban. Ayah dan ibu pernah tidak mempedulikan diri mereka sendiri lantaran memikirkan untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Bagi mereka, biar susah. Biar payah. Yang penting, anak-anak membesar bahagia tanpa merasa ada kukurangan sedikit pun berbanding insan lain.


Tanpa memikirkan kelelahan yang terpaksa dihadapi, ayah gigih dan tabah keluar berkerja saban hari untuk mencari rezeki buat keluarganya. Tidak cukup sekadar itu, ibu juga turut membantu ayah untuk meringankan beban yang ditanggungnya sendiri. Ya Allah..betapa besarnya pengorbanan insan ini. Sejak hari pertama kita lahir, hidup mereka seolah-olah sudah pasti akan dikorbankan demi kesejahteraan insan yang bernama anak-anak. Dengan belaian kasih sayang, sentuhan manja, keprihatinan, kerisauan mereka..semua itu pernah membuatkan kita merasa sangat bahagia kerna disayangi dan sentiasa berasa selamat lantaran ada yang menjaga dan melindungi kita.


Namun, tatkala usia si anak semakin menganjak dewasa, kita mula terlupa akan mereka.


Kita terlupa betapa satu ketika dahulu, mereka sangat menyayangi kita lebih dari nyawa mereka sendiri. Hari ini.. kasih sayang,keprihatinan dan kerisauan mereka terhadap kita membuatkan kita merasa bahawa hidup kita dikongkong dan disekat! Kita merasa bahawa dalam banyak hal kitalah yang benar, dan mereka hanyalah insan tua yang tidak tahu apa! Seandainya inilah yang berlaku, bayangkanlah perasaan mereka yang dulu pernah memanjai dan mendidik kita bagai menatang minyak yang penuh.


Wahai anak, sedarlah!


Insafilah..bahawa merekalah insan yang paling layak untuk kita patuhi dan sayangi selepas taat kita kepada Sang Khaliq. Kerana itulah, kita dapat lihat betapa Allah swt telah menyebut berulang kali, bahawa selepas ketaatan kita dipersembahkan kepada Allah swt,maka ayah dan ibulah yang keduanya.


Allah swt berfirman yang mafhumnya:


(Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan DIA dengan sesuatu pun, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa) An Nisa:36


( Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia) Al Isra’: 23


Hadith peninggalan Rasulullah saw juga banyak sekali menyebut tentang keutamaan untuk kita berbuat baik kepada ayah dan ibu selepas ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya. Di samping itu, Rasulullah saw juga ada mengingatkan tentang balasan buruk apabila kita menderhaka dan menyakiti mereka.


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya:(Wahai Rasulullah, Siapakah orang yang paling berhak aku hormati? Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.” Lelaki itu berkata lagi: “ Siapakah setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “ Siapa lagi setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “

Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “ Lalu siapa lagi sesudahnya?” Nabi s.a.w

menjawab: “ Ayahmu.”) HR Bukhari


(Rasulullah saw bersabda, Dosa-dosa besar: Syirik terhadap Allah, menderhaka kepada ibu bapa,membunuh diri dan bersumpah dengan dusta) HR Bukhari


Hari ini kita dapat lihat, bagi mereka yang mempunyai kekasih hati, mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang atau terlupa. Ada masanya, kita lebih mengutamakan untuk bertanya khabar si kekasih, bertanya sakit peningnya, meminta pendapat, nasihat, doa dan sebagainya. Sedangkan kita terlupa bahawa ayah dan ibulah yang lebih berhak ke atas diri kita untuk mendahulukan mereka berbanding semua insan lain.


Ayuh, kita cakna semula diantara adab-adab yang perlu kita jaga selaku seorang anak kepada ibu bapa.Together towards anak soleh/solehah..!! (^_^)


1) Hendaklah kita memuliakan mereka


2) Bersalaman dan mencium tangan mereka sebagai tanda kasih dan hormat


3) Menjaga adab ketika bercakap dengan mereka


4) Menyahut panggilan mereka tanpa melengah-lengahkannya


5) Sentiasa berusaha menggembirakan mereka


6) Menjaga harta mereka


7) Tidak mencaci dan meninggikan suara terhadap mereka

 Tidak mendahului mereka dalam segala hal


9) Tidak duduk di tempat tinggi daripada mereka


10) Sentiasa meminta izin dan pandangan mereka mengenai sesuatu hal


11) Menghormati sahabat-sahabat mereka


12) Tidak berlebih-lebih dalam memuliakan isteri (khusus bagi yang bergelar suami)


13) Memperbanyakkan doa kepada mereka


Wahai anak, rebutlah kesempatan yang masih Allah berikan pada kita hari ini. Hargailah mereka, sayangi mereka dan mohonlah ampun maaf atas segala salah silap kita selama ini. Semoga dengan doa dan restu mereka, nescaya tergolonglah kita di dalam golongan insan yang berbahagia dan berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. Kerna sesungguhnya, redha Allah swt itu datangnya jua daripada redha ayah dan ibu.


Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda: Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya.” (Hadis al-Tirmizi).


‘Ya Allah,ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku.. Rahmatilah mereka sepertimana mereka telah mengasihiku sejak kecil..’ Amin..~

Mengapa Mesti Bersangka Baik?



Mengapa Mesti Bersangka Baik?

JUM, 03 OGO 2012 10:07 | ZAHRATU BILLAURAH | NURUL AIN JAMALUDDIN 


Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;


Satu. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.


Dua. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memberi.


Tiga. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?


Empat. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.


Lima. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa. 


Enam. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.


Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."

(Surah al-Hujurat, ayat 12)


"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin kerana dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama. Maka aku yang tahulah harus mengajaknya."


"Kenapa dia pulang ke universiti bersama seorang lelaki? Oh, mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak mengenali siapa keluarganya. Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam perjalanan sehingga dia terpaksa menumpang lelaki tersebut."


"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh tanpa sebarang SMS atau call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu. Aku sebagai sahabat mestilah memahaminya."


"Kenapa dia tak membalas senyumanku waktu berselisih ke kelas tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu yang membelenggu fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi senyuman lagi."


"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah yang suka memberi tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering melakukan kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah yang mesti saling menasihati dan mengingatkan."


Seorang mukmin itu bersangka baik terhadap orang lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati dengan alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.


Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan langkah untuk berjaga-jaga.


Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi, terdengar bunyi dari rumah jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang bertopeng penuh di muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan bahawa tuan rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah sambil memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.


Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih baik.


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)


like n share....biar semua orang tahu....


berikan 10,000 like!